AYAT TERAS

Kertas kerja ini ditulis selepas melihat beberapa orang rakan daripada kumpulan da’wah membuat tafsiran yang jauh daripada maksud yang asal. Sememangnya tulisan ini agak berat berbanding tulisan-tulisan sebelum ini, namun penting untuk dicernakan bersama oleh semua generasi penda’wah.

Pastinya ramai daripada kita menggunakan ayat ini dalam penghujahan kita untuk menghuraikan kewajipan berda’wah… Sila pasakkan kesabaran ketika membaca.

PERBAHASAN 1

MAKSUD وdalam وَلْتَكُنْ

Maksud وَ dalam ayat ini ialah ‘dan’ wau al-wasl (huruf wau yang berfungsi sebagai penyambung dengan ayat yang sebelumnya).

HURAIAN
Berikut adalah makna huruf wau dalam al-Quran. Sila rujuk kitab al-Wau Wa al-Faa Wa Thumma Fil Quran al-‘Azhim, Dirasah Nahwiyyah Dilaliah Ihshaiyyah lil Safa’ Abdullah Naif Hardan mukasurat 75-77.

1. Sumpah dengan masa
{وَالْعَصْرِ* إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ….}
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian …. (Al-Asr: 1dan 2)
Lihat Kitab
Tafsir Jaami’ al-Bayan Fi Takwil al-Quran lil Imam Thabari jilid 24 mukasurat 589.

2. Penyambung (‘athaf) umum ke atas khusus dan juga sebaliknya
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” (Ibrahim: 41)

3. Penyambung kepada makna yang Sama.
أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. (al-Baqarah:157)

4. Penyambung kepada ayat yang sebelumnya iaitu bermula dari ayat 102 hingga 105. PENDAPAT TERPILIH.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (102) وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آَيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103) وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (104) وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (105)
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. [102]


Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. [103]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. [104]

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. [105]

MAKSUD وَلْتَكُنْ dalam ayat وَلْتَكُنْ

Maksud وَلْتَكُنْ dalam ayat ini ialah keseluruhan umat Islam. Maksud al-Khitab (ditujukan arahan ini).

HURAIAN

Huruf laam pada ayat وَلْتَكُنْ berfungsi sebagai kata suruh. Huruf laam tersebut yang berbaris sukun pada asalnya berbaris kasrah iaitu berbunyi walitakun. (Ruuh Ma’ani Fi Tafsir al-Quran al-‘Azhim Wa Sab’ul Mathani Lil Imam Alusi jilid 3 mukasurat 159).

Dari itu, apabila wujud huruf laam yang berfungsi sebagai kata suruh, maka ia akan menjadi wajib. Berikut adalah yang dimaksudkan dengan kamu dalam ayat di atas:

1. Aus dan Khazraj
Lihat Tafsir al-Bahrul Muhith lil Imam Ibn Hayyan jilid 3 mukasurat 343.

2. Umum untuk sekalian umat Islam (iaitu ia lafaz khas yang bermaksud umum). PENDAPAT TERPILIH.
Lihat Tafsir al-Bahrul Muhith lil Imam Ibn Hayyan jilid 3 mukasurat 343.

PERBAHASAN 2

MAKSUD مِنْكُمْ dalam ayat مِنْكُمْ
Maksud مِنْكُمْ dalam ayat ini ialah sebahagian daripada umat Islam, bukan semuanya

HURAIAN

1. مِنْ bermaksud sebahagian dari umat Islam (TERPILIH)
Lihat Tafsir al-Bahrul Muhith lil Imam Ibn Hayyan jilid 3 mukasurat 343.

2. Li bayan al-jins (مِنْ untuk menjelaskan jenis). Ini ialah pendapat az-Zujaj dan ar-Razi berdalilkan kepada ayat 30 Surah al-Hajj.
Lihat Tafsir al-Bahrul Muhith lil Imam Ibn Hayyan jilid 3 mukasurat 343 dan Mafaatih al-Ghaib.

3. Bukan menunjukan keseparuhan (seperti nombor 1) berdalilkan kepada ayat 110 Surah Ali ‘Imran.
Lihat Mafaatih al-Ghaib Lil Imam Fakhruddin ar-Raazi jilid 4 329.

PERBAHASAN 3

MAKSUD أُمَّةٌ dalam ayat أُمَّةٌ

Maksud أُمَّةٌ dalam ayat ini ialah satu organisasi.

HURAIAN

Ummah mempunyai beberapa maksud seperti di bawah:

1. Orang yang mengajarkan kebaikan
إِنَّ إِبْرَاهِيمَ كَانَ أُمَّةً قَانِتًا لِلَّهِ حَنِيفًا وَلَمْ يَكُ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan “satu umat”; Ia takut bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik. (An-Nahl: 120)
Lihat Kitab al-Mustadrak Bi Ta’liq azh-Zhahabi jilid 4 mukasurat 418 hadis nombor 5188.

2. Jalan agama
بَلْ قَالُوا إِنَّا وَجَدْنَا آَبَاءَنَا عَلَى أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَى آَثَارِهِمْ مُهْتَدُونَ
Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”. (Zukhruf: 22)
Lihat Kitab Tafsir Jaami’ al-Bayan Fi Takwil al-Quran lil Imam Thabari jilid 21 mukasurat 584.

3. Tempoh masa.
وَقَالَ الَّذِي نَجَا مِنْهُمَا وَادَّكَرَ بَعْدَ أُمَّةٍ أَنَا أُنَبِّئُكُمْ بِتَأْوِيلِهِ فَأَرْسِلُونِ
Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: “Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya) “. (Yusuf: 45)
Lihat Kitab Tafsir Jaami’ al-Bayan Fi Takwil al-Quran lil Imam Thabari jilid 16 mukasurat 120.

4. Satu kelompok manusia atau satu organisasi. PENDAPAT TERPILIH. Ini dikuatkan lagi dengan status perkataan selepasnya sebagai sifat kepada ummah. Perkataan selepas ummah ialah yadda’un dengan lafaz banyak (plural). Maka, terjemahan satu kelompok manusia ialah paling tepat.
Lihat Kitab Tafsir al-Wasith lil Sheikh Syed Thantawi jilid 1 mukasurat 690.

PERBAHASAN 4

MAKSUD الْخَيْرِ dalam ayat يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ

Maksud يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ dalam ayat ini ialah al-Islam.

MAKSUD AL-KHAIR DI DALAM AL-QURAN

1. Kerajaan dan kekuasaan
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ali imran: 26)
Sila lihat kitab Jaami’ al-Bayan fi Takwiil al-Quran lil Imam Thabari jilid 6 mukasurat 295- 301.

2. Kebaikan (iaitu hasil daripada amalan)
قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”. (Al-A’raf: 188)
Sila rujuk kitab Mafaatih al-Ghaib lil Imam Fakhruddin ar-Razi jilid 7 mukasurat 327 dan 328.

3. Akhlak mulia dan pergaulan yang baik
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (al-Hajj:77)
Sila rujuk kitab Tafsir al-Jalalain li Imamain Jalaluddin al-Muhalli dan Jalaluddin as-Syuthi jilid 6 mukasurat 171.

4. Duit dan harta rampasan
أَشِحَّةً عَلَيْكُمْ فَإِذَا جَاءَ الْخَوْفُ رَأَيْتَهُمْ يَنْظُرُونَ إِلَيْكَ تَدُورُ أَعْيُنُهُمْ كَالَّذِي يُغْشَى عَلَيْهِ مِنَ الْمَوْتِ فَإِذَا ذَهَبَ الْخَوْفُ سَلَقُوكُمْ بِأَلْسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى الْخَيْرِ أُولَئِكَ لَمْ يُؤْمِنُوا فَأَحْبَطَ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا
Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (Ahzab: 19)
Sila rujuk kitab Tafsir Madaarik at-Tanzil wa Haqaia at-Takwil lil Imam Nasafi jilid 3 mukasurat 126.

5. Kuda
فَقَالَ إِنِّي أَحْبَبْتُ حُبَّ الْخَيْرِ عَنْ ذِكْرِ رَبِّي حَتَّى تَوَارَتْ بِالْحِجَابِ
(Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: ” Sesungguhnya aku telah mengutamakan kesukaanku kepada (kuda pembawa) kebaikan lebih daripada mengingati (ibadatku kepada) Tuhanku, sehingga (matahari) melindungi dirinya dengan tirai malam”. (Saad:32) Sila rujuk kitab Tafsir Anwar at-Tanzil wa Asrar at-Takwil lil Imam Baidhawi jilid 5 mukasurat 93.

6. Duit dan kesihatan tubuh badan
لَا يَسْأَمُ الْإِنْسَانُ مِنْ دُعَاءِ الْخَيْرِ وَإِنْ مَسَّهُ الشَّرُّ فَيَئُوسٌ قَنُوطٌ
Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah).
(Fussilat:49)
Sila rujuk kitab Jaami’ al-Bayan fi Takwiil al-Quran lil Imam Thabari jilid 21 mukasurat 490.

7. Mengikut arahan al-Quran dan Sunnah.
(Daripada Abu Ja’far al-Baqir yang diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih. Penulis tidak menemui sumber asal tetapi diambil daripada kitab tafsir di bawah)
Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim lil Ibn Kathir jilid 2 mukasurat 91.

8. Islam dan syariatnya dan inilah PANDANGAN TERPILIH
Dan inilah ayat yang menjadi pokok perbahasan utama kita
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali imran: 104)

Ini dikuatkan lagi dengan hadis Nabi SAW
حذيفة بن اليمان يقول كان الناس يسألون رسول الله صلى الله عليه و سلم عن الخير وكنت أسأله عن الشر مخافة أن يدركني فقلت يا رسول الله إنا كنا في الجاهلية وشر فجاءنا الله بهذا الخير فهل بعد هذا الخير من شر ؟ قال ( نعم )….

(Sahih: al- Jaami’ as-Sahih al-Mukhtasar lil Imam Bukhari 6/2595 no 6673)

Ibn Hajar ketika mensyarahkan berkenaan hadis di atas di dalam kitabnya Fathul Baari Syarh Sahih Bukhari mengatakan maksud bi hazha al-khair ialah iman, keselamatan, kebaikan segala urusan dan dijauhkan daripada segala perkara yang keji. Begitu juga dalam kitab ‘Umdatul Qaari Syarh Sahih Bukhari lil Badriddin al-‘Aini alHanafi 35/145.

Ibn ‘Asyur menyatakan bahawasanya maksud bi hazha al-khair dalam ayat di atas ialah Islam. Lihat kitab Tafsir Tahrir Wan Tanwir jilid 3 mukasurat 180.

Beginilah juga pandangan:

1. al-Imam Thabari dalam kitabnya Jaami’ al-Bayan fi Takwiil al-Quran lil Imam Thabari jilid 7 mukasurat 90.
2. Imam Baghawi dalam kitabnya Ma’alim at-Tanzil jilid 2 mukasurat 85.
3. Imam Fakhruddin as-Suyuthi dan al-Muhalli dalam kitab mereka Tafsir al-Jalalain jilid 1 mukasurat 396.

PERBAHASAN 5

MAKSUD HURUF WAU (وَ)
Iaitu membawa maksud wau athaf (huruf yang menyambung dengan perkataan sebelumnya). Apa yang akan dijelaskan selepas ini ialah yang lebih spesifik dan merupakan huraian kepada ayat sebelumnya.
Lihat Tafsir al-Alusi jilid 3 mukasurat 159 dan kitab al-Waa’u wa al-faa’u wa thumma Fil Quran al-Karim Diasah Nahwiyyah Dilaliah Ihshai’iyyah li Safa’ Abdullah Naif Hardan (tesis MA di Universiti Najah Wathaniah, Palestin mukasurat 127-129)

MAKSUD وَيَأْمُرُونَ (kata suruh) dalam ayat وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ

Maksud وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ dalam ayat ini ialah menguatkuasakan, mengarahkan atau memaksakan.

HURAIAN

Al-amru dalam maksud asas dalam bahasa Arab ialah arahan daripada pihak yang atas kepada pihak yang bawah.

Contoh bagi perkara tersebut ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Syarh al-Arba’in an-Nawawiah fi al-Ahadith as-Sohihah an-Nabawiah pada bab al-Amru bi Ihsan adz-Dzibhi wa al-Qatli menyebutkan hadis Nabi SAW:

عن أبي يعلى شداد بن أوس رضي الله عنه، عن رسول الله صلى الله عليه وسلم، قال: ” إن الله كتب الإحسان على كل شيء، فإذا قتلتم فأحسنوا القتلة، وإذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة، وليحد أحدكم شفرته وليرح ذبيحته ”
(Bab ke 17, 1/18)

Hadis di atas jelas menunjukan bahawasanya arahan Allah Ta’ala melalui lidah nabi-Nya supaya apabila menyembelih, hendaklah disembelih dengan penuh rahmah dan kasih sayang. Arahan Allah ini jelas melalui penggunaan kalimah كتب yang bermaksud Allah mewajibkan ihsan ke atas setiap sesuatu. Ini dilihat selari dan konsisten dengan ayat Allah yang lain seperti:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى…
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh (al-Baqarah: 178)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ….
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa… (al-Baqarah: 183)

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ….
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu .. (al-Baqarah: 216)

MEMAHAMI FUNGSI الأمر (kata suruh)

فعل الأمر (Fi’il amar atau kata suruh) ada mempunyai beberapa fungsi tertentu yang akan berubah mengikut status si pencakap iaitu seperti di bawah:

1. Kata suruh : iaitu memberi maksud arahan daripada atas kepada yang di bawah.
2. Kata doa : memberi maksud memohon daripada orang di bawah kepada yang di atas.
3. Kata ajak : iaitu memberi maksud ajakan atau cadangan dari orang yang sama status.

PENJELASAN

1. KATA SURUH
Ia akan berlaku apabila berlaku komunikasi antara dua pihak. Pihak yang pertama berstatus tinggi dan pihak yang kedua berstatus rendah. Ia barangkali boleh berlaku apabila ada komunikasi antara seorang raja dan rakyatnya, seorang pemimpin kepada pengikutnya, seorang ayah kepada anaknya dan Allah kepada hambaNya.

Sebagai contoh apabila seorang ayah memberikan arahan kepada anaknya dengan mengatakan
“ Amar, tolong ambilkan ayah suratkhabar itu”
“Beta mahu negeri beta ini kekal dalam pemerintahan yang aman dan tenteram”
Maka, dapat difahami dengan jelas bahawasanya ia adalah berbentuk arahan. Sekiranya kita meneliti al-Quran, maka kita akan dapati banyak ayat di dalam al-Quran yang berbentuk kata suruh daripada yang berkuasa (Allah) kepada yang tiada kuasa (hamba bernama manusia). Seperti firman Allah

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ}
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah: 183)

Maka, ayat di atas dapat difahami dengan jelas bahawa ia adalah berbentuk suruhan atau paksaan untuk berpuasa kerana sifat kata suruh ini ialah daripada atas ke bawah (dari Allah kepada hambaNya).

2. KATA DOA

Seperti kata suruh di atas, kata doa juga hanya akan berlaku sekiranya ada komunikasi antara dua pihak. Seorang yang meminta dan seorang yang diminta. Ia juga seperti permohonan antara seorang rakyat dengan rajanya atau seorang anak kepada ayahnya seperti dalam kisah Nabi Allah Musa:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”. (Al-Qasas: 26)

Perkataan اسْتَأْجِرْهُ ialah kata suruh (فعل الأمر) sebenarnya dalam bahasa Arab, namun sekiranya kita melihat konteks ayat ini, ia menceritakan perbualan antara Nabi Allah Syu’aib dan anaknya. Maka, konteks kata suruh dalam ayat ini ialah berbentuk permohonan ataupun cadangan.

Manakala ayat berkenaan permohonan seorang hamba dengan PenciptaNya adalah seperti berikut:

{وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا}
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Al-Furqan: 74)

Perkataan هَبْ dalam ayat di atas membawa maksud kata suruh (فعل الأمر), namun oleh kerana sifat kata suruh ini daripada bawah ke atas (permohonan daripada hamba kepada Allah), maka ia adalah dikirakan sebagai doa.

3. KATA AJAK ATAU CADANG

Ia juga hanya akan berlaku apabila ada komunikasi dengan pihak kedua atau seterusnya. Namun, kata suruh yang membawa maksud kata ajak ini hanya akan berlaku apabila orang yang mengajak atau mencadangkan berada pada satu status yang sama seperti seorang kawan dengan kawannya. Ini merujuk kepada firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 9:

{اقْتُلُوا يُوسُفَ أَوِ اطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا مِنْ بَعْدِهِ قَوْمًا صَالِحِينَ}
“Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna”. (Yusuf: 9)

Perkataan اقْتُلُوا pada dasarnya ialah memberi maksud kata suruh (فعل الأمر) yang membawa maksud dituntut untuk melakukannya, namun dalam situasi di atas ia membawa maksud cadangan atau saranan supaya membunuh Yusuf, bukan arahan. Hal ini terbukti apabila ayat seterusnya menunjukan ada di kalangan ahli mesyuarat yang membangkang cadangan tersebut.

قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ لَا تَقْتُلُوا يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِي غَيَابَةِ الْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ السَّيَّارَةِ إِنْ كُنْتُمْ فَاعِلِينَ}
Salah seorang di antara mereka berkata: “Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu”.

PILIHAN

Penulis telah memilih dengan menyatakan maksud وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ dalam ayat ini ialah menguatkuasakan, mengarahkan atau memaksakan. Ini adalah berdasarkan hujah-hujah di bawah.

Arahan kata suruh dalam ayat ini وَلْتَكُنْ adalah membawa maksud kata suruh yang WAJIB, bukan sunat, bukan ajakan apatah lagi doa. Ini kerana ayat ini dikuatkan lagi dengan hadis Nabi SAW berkenaan dengan perkara yang sama. Sabda Baginda SAW

عن حذيفة عن اليمان : عن النبي صلى الله عليه و سلم قال والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليوشكن الله أن يبعث عليكم عقابا منه ثم تدعونه فلا يستجاب لكم
(Hasan: Jaami’ as-Sahih Sunan at-Tirmidzi 4/468 no. 2169. Imam Tirmidzi dan Sheikh Albani mengatakan hadis ini hasan)

Antara tanda-tanda yang menunjukan arahan bagi sesuatu perkara itu adalah wajib dalam hadis di atas ialah, syariat akan mendatangkan bersama dengan arahan itu balasan sekiranya meninggalkannya. Maka dalam hadis di atas ليوشكن الله أن يبعث عليكم عقابا منه merupakan amaran dari Allah sekiranya meninggalkan kerja amar makruf ini.

Maka, kembali kepada ayat utama وَلْتَكُنْ merupakan arahan wajib kepada hambaNya. Manakala وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ merupakan ma’thuf (yang mengikuti baris perkataan sebelumnya) kepada إِلَى الْخَيْرِ يَدْعُونَ yang merupakan sifat kepada أُمَّةٌ. Dan أُمَّةٌ ialah Faa’il (pembuat atau pelaku) kepada وَلْتَكُنْ. Maka, ayat ini bermaksud, wajib ada satu kelompok manusia yang menyeru kepada Islam dan (mereka) yang menguatkuasakan ma’ruf….

RUMUSAN

Jelas dalam huraian di atas, kata suruh (فعل الأمر) dalam Bahasa Arab membawa maksud yang pelbagai. Ia akan berubah maksud dan terjemahan apabila situasi percakapan berubah. Dari itu, perlu difahami bahawasanya bukan semua kata suruh (fi’il amar) membawa maksud arahan daripada atas ke bawah (from top to bottom).

Maka,dalam situasi ayat di atas maksud bagi perkataan وَيَأْمُرُونَ ialah menguatkuasakan, mengarahkan atau memaksakan.

PERBAHASAN 6

MAKSUD الْمَعْرُوفِ dalam ayat وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ

Maksud وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ dalam ayat ini ialah Syariat Islam.

HURAIAN

1. Taat kepada Allah
Ini ialah pandangan Maqatil yang diriwayatkan daripada Al-Imam Alusi. Maqatil mengatakan al-khair ialah islam, الْمَعْرُوفِ ialah takut kepada Allah dan munkar ialah berbuat derhaka kepada Allah.
Lihat kitab Tafsir Ruh al-Ma’ani Fi tafsir al-Quran al-‘Azhim wa Sab’ul Matsani lil Imam Alusi jilid 3 mukasurat 159.

2. Mengarahkan manusia untuk taat kepada ajaran Nabi Muhammad SAW.
Lihat kitab Jaami’ al-Bayan fi Takwiil al-Quran lil Imam Thabari jilid 7 mukasurat 91.

3. Syariat.
Lihat kitab Tafsir al-Bahru al-Muhith lil Ibn Hayyan jilid 3 mukasurat 344.

4. Kebenaran dan kebaikan.
Lihat kitabTahrir Wa Tanwir lil Ibn ‘Asyur jilid 3 mukasurat 180.

5. Apa-apa yang diharuskan syara’ .
Lihat kitab at-Tafsir al-Wasith li Syed Thantawi jilid 1 mukasurat 691.

Melihat kepada maksud di atas, jelas menunjukan bahawasanya الْمَعْرُوفِ yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah syariat Islam.

Maka, apabila kita menggabungkan وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ maka ia membawa maksud menguatkuasakan syariat Islam.

PERBAHASAN 7

MAKSUD وَيَنْهَوْنَ dalam ayat وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ

Maksud وَيَنْهَوْنَ dalam ayat ini ialah dan mereka yang mencegah

HURAIAN

Perkataan وَيَنْهَوْنَ merupakan ma’thuf kepada يَدْعُونَ. Dari itu, kedua-dua ini adalah sifat kepada faa’il (pembuat) iaitu أُمَّةٌ. Dan merupakan kewajipan sesebuah organisasi untuk melaksanakan tiga perkara di bawah:

1. Berda’wah kepada Islam DAN
2. Menguatkuasakan syariah DAN
3. Mencegah sebarang perkara yang bercanggah dengan syara’.

PERBAHASAN 8

MAKSUD عَنِ dalam ayat وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ

Maksud وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ dalam ayat ini ialah mencegah sesuatu kemungkaran itu sebelum ia berlaku

HURAIAN

Ini berdalilkan kepada ayat Allah:
{..فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ* الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ..}
(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (al- Maa’uun: 4,5)

Iaitu perkara yang perlaku di luar dari perbuatan solat iaitu berkenaan melewat-lewatkan menunaikan solat.
(Lihat Jaami’ al-Bayan Fi Takwiil al-Quran Lil at-Thobari jilid 24 mukasurat 630-633).

Ini dilihat berbeza dengan ayat Allah yang lain:
{قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ* الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ…}
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya…
(al-Mukminun: 1,2)

Yang membawa erti perkara yang berlaku di dalam solat. Iaitu kekhusyukkan itu mestilah terhasil ketika sedang menunaikan solat.

PERBAHASAN 9

MAKSUD الْمُنْكَرِ dalam ayat وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ

Maksud وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ dalam ayat ini ialah apa-apa perkara yang bercanggah dengan syara’.

HURAIAN

1. Apa-apa yang pada perkiraan syara’ tidak elok.
Lihat kitab at-Tafsir al-Wasith li Syed Thantawi jilid 1 mukasurat 690.

2. Kufur pada Allah dan menyanggah syariat Nabi Muhammad SAW.
Lihat Jaami al-Bayan Fi Takwil al-Quran lil Imam Tabari jilid 7 mukasurat 91.

3. Kebatilan dan fasad
Lihat kitabTahrir Wa Tanwir lil Ibn ‘Asyur jilid 3 mukasurat 180.

PERBAHASAN 10

MAKSUD وَأُولَئِكَ dalam ayat وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Iaitu orang yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan tadi (iaitu penda’wah, penguatkuasa dan pencegah-pen). Lihat Tafsir al-Alusi jilid 3 mukasurat 161.

MAKSUD الْمُفْلِحُونَ dalam ayat وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksud وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ dalam ayat ini ialah orang yang berjaya yang kekal di syurga.

HURAIAN

1. Orang yang berjaya yang kekal di syurga
Lihat Jaami al-Bayan Fi Takwil al-Quran lil Imam Tabari jilid 7 mukasurat 91.

2. Para sahabat, mujahidin dan ulama’(pandangan Dhahhak)
Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim lil Ibn Kathir jilid 2 mukasurat 91.

PENUTUP

Penulis menutup kertas kerja ringkas ini dengan membetulkan semula ayat terjemahan Surah Ali ‘Imran ayat 104 sebagai berikut

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan wajiblah ada di antara kamu satu organisasi yang menyeru (berdakwah) kepada Islam, dan menguatkuasakan syariat, dan mencegah daripada segala perkara yang bercanggah dengan syara’. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang Berjaya (yang kekal di syurga Allah)
(Ali ‘Imran: 104)

Sheikh Syed Qutb membuat satu ulasan yang baik berkenaan ayat ini. Beliau mengatakan:

Perlu untuk wujud jemaah yang menyeru kepada kebaikan, menguatkuasakan syariah dan mencegah kemungkaran . Tidak dapat tidak kerajaanlah yang perlu memainkan peranan itu.

Perlu difahami bahawasanya bukan menjadi kemestian dalam berda’wah untuk mempunyai kerajaan, tetapi untuk menguatkasakan syariah dan mencegah sebarang kemungkaran yang bercanggah dengan syariah MESTILAH dengan mempunyai kerajaan.

Ini pandangan Islam terhadap permasalahan tersebut. Menjadi kemestian untuk mempunyai kerajaan untuk berda’wah, menguatkuasa dan mencegah. Satu kerajaan yang dengannya akan diikat tali khuwwah berpaksikan Islam.

Lihat kitab Tafsir Fi Dzhilal al-Quran li Syed Qutb jilid 1 mukasurat 413.

Daripada Allahlah segala taufik dan hidayah.

Ya Allah, saksikanlah bahawasanya aku telah menyampaikan.

11 Jun 2010
10.35 malam

Comments (1) »

Berkeluarga Hingga ke Syurga

Tadi jam 10.16 minit pagi saya mendapat mesej daripada adik saya

Tadi ayah pening,jatuh kat kubuq.. Satgi nak bawa pi klinik.

Ketika itu saya masih di dalam kelas. Alhamdulillah menjadi disiplin saya di dalam kelas untuk tidak melayan sebarang panggilan telefon, apatah lagi mesej.

Namun, tadi sebaik perasan ada mesej masuk dalam peti mesej saya, terus terasa ingin membukanya. Ya, barangkali suara hati harus didengari ada juga benarnya.

Jam 11.16 satu lagi mesej masuk ke peti mesej saya. Dari bapa saudara saya, adik ayah Pak Cheng panggilan saya padanya.

Sekali lagi hati ini terasa seperti mesej ini penting…

Salam, kata ayah hang masuk hospital, wad mana? La ni (sekarang) Pak Cheng ada di Lumut kursus motivasi. TQ

Mesej adik saya tadi belum dapat saya sahkan,datang pula soalan ini…aduuuuuhhh. Mata sudah mahu menangis.

Ya Allaaaaaaaahhh..

Pengajaran pagi tadi saya tak pasti, para pelajar memahami atau tidak.

Samada mereka perasan atau tidak resah dan gelisah di hati ini.

Sebaik sahaja tamat kelas jam 12, terus sahaja pulang ke rumah mahu bersiap-siap pulang ke kampung. Namun beberapa program harus dibatalkan saat akhir.

Ditujukan permohonan maaf ini pada:

Encik Hassan Awang Boon kerana terpaksa membatalkan program bersama beliau pada hari Ahad nanti (sepanjang hari)

Adik-adik MEP kerana terpaksa membatalkan program pada Ahad malam.

Adik-adik di TAHAP, Jerantut kerana terpaksa membatalkan program pada malam ini dan besok (sepanjang hari)

Puan Masyita Abu Hassan kerana terpaksa mengingkari arahan cuti dibekukan pada hari ini dan tidak menghadiri mesyuarat penting petang ini.

Adik Nor kerana terpaksa berdikari pulang ke kampung yang sepatutnya abangmu ini yang menghantari.

Kini alhamdulillah setelah 8 jam perjalanan, kini saya di hadapan ayah.

Semoga Allah akan sentiasa memberkati dirimu ayah.
Anakmu ini belum sempat untuk membalas jasamu seperti anakmu yang lain.
Namun, yang pasti ayahku…aku mahu untuk menjadi anakmu yang soleh
Supaya engkau akan beroleh pahala di mana jua kerana kesolehanku

Akan kudidik anak-anakku
Cucu-cucumu erti menjadi hamba Allah
Agar Engkau akan beroleh pahala di mana sahaja engkau berada

Ayahku,
Aku banyak mewarisimu….
Sikapmu yang tidak suka menyusahkan orang
Sikapmu yang kurang bercakap
Sikapmu yang suka bekerja
Bukan itu sahaja ayah
Aku juga mewarisimu dari sudut fizikal
Wajah dan tubuh badanku persis sepertimu
Gigiku juga jarang sepertimu
aku juga jarang sakit sepertimu

Namun hari ini hari…sejurus aku mendapat berita ini
Air mata aku bercucuran…tidak kutahu kenapa aku begitu sensitif
Aku harapkan itulah tanda cinta dan kasihku padamu
Dalam kurang budiku padamu

Ayahku
Semoga Allah memberkati hidupmu
Tidak pernah khabar orang sakit atau kematian melainkan engkau pasti akan sampai
Tidak pernah jemputan engkau akan hampakan walaupun pernah sehari 16 jemputan perkahwinan
engkau tetap tidak sia-siakan
Dengan motor Honda itulah engkau menongkah ke utara, selatan, timur dan barat jemputan

Dari itulah ayahku..hari ini engkau di sini
Kurang dari satu jam
Wad ini penuh dengan orang yang menziarahimu
Tanpa putus-putus
Barangkali tanda keberkatanmu menuruti perintah agama

Harapanku agar aku mencontohimu
Doakan aku sepertimu ayahku
semoga Allah merahmati selamanya.
Aku mengasihimu dahulu hingga selamanya
Kita berkeluarga hingga ke syurga

Comments (2) »

Cadangan Puasa Bulan Rejab


Hanya sekadar cadangan untuk diamalkan. Semoga keredhaan Allah sentiasa bersama kita. Ameen

Leave a comment »

Rejab Yang Disalaherti

Pagi ini saya dijemput untuk memberikan tazkirah di Pejabat Kolej Cemara dan Cendana, Seksyen 18 dengan tajuk Beberapa Salah Faham Dalam Bulan Rejab.

Sedang saya mencari-cari bahan pagi tadi selepas Subuh, saya terjumpa dengan artikel yang menyedihkan ini. Lebih menyedihkan, ia diterbitkan di atas nama sebuah universiti awam tersohor Malaysia.

Artikel tersebut ialah tentang Fadhilat Bulan Rejab.

Berikut adalah bahan tazkirah yang saya sediakan pada pagi ini. Ia adalah bahan bacaan ringkas sebagai panduan sahaja.

BULAN REJAB.

KELEBIHAN BULAN REJAB

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
(Surah at-Taubah: 36)

Empat bulan yang dihormati itu ialah Bulan Dzul Qaidah, Dzul Hijjah, Muharram dan Rajab.(Lihat Tafsir Ibn Kathir 4/144-150.)

Allah mewajibkan kepada semua umat Islam supaya menghormati bulan-bulan ini dan melarang berperang. Nabi SAW bersabda:

عن أبي بكرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و سلم قال ( الزمان قد استدار كهيئته يوم خلق الله السماوات والأرض السنة اثنا عشرا شهرا منها أربعة حرم ثلاثة متواليات ذو القعدة وذو الحجة والمحرم ورجب مضر الذي بين جمادى وشعبان )
(Sahih: Sahih Bukhari 3/1168 no. 3025.)

Hadis kedua:

عن أنس يرفعه رجب شهر الله وشعبان شهري ورمضان شهر أمتي
(Maudhu’: Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut dalam kitabnya al-Manar al-Munif 1/95, hadis ini diambil daripada Ibn Jahdham dan dia dikenali sebagai orang yang selalu memalsukan hadis. Begitu juga pandangan yang diberikan oleh Imam Qaradawi dengan mengatakan hadis ini munkar dan dhaif jiddan. Lihat)

DOA APABILA MASUK BULAN RAJAB

عن أنس رضي الله عنه ، قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل رجب قال : ” اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان”.
(Dhaif: Lihat Kitab al-Adzkar lil Imam an-Nawawi 1/189 no. 541. Imam Nawawi mengatakan hadis ini diambil daripada kitab Hilyatul Auliya’ dan perawinya ada yang dhaif. Ibn Abi Bakr al-Hathami dalam kitabnya Majma’ azZawaaid wa Manba’ al-Fawaaid 2/165 perawi hadis ini Zaaidah bin Abi Ruqad telah dikategorikan Munkar oleh Imam Bukhari.)

HADIS-HADIS AMALAN BULAN RAJAB

SOLAT AR-RAGHAAIB

ما من أحد يصوم أول خميس من رجب ثم يصلي فيما بين العشاء والعتمة اثنتي عشرة ركعة يفصل بين كل ركعتين بتسليمة يقرأ في كل ركعة بفاتحة الكتاب مرة وإنا أنزلناه في ليلة القدر ثلاث مرات وقل هو الله أحد اثنتي عشرة مرة ، فإذا فرغ من صلاته صلى علي سبعين مرة يقول : اللهم صل على محمد النبي الأمي وعلى آله ثم يسجد ويقول في سجوده سبعين مرة : سبوح قدوس رب الملائكة والروح ، ثم يرفع رأسه ويقول سبعين مرة : رب اغفر وارحم وتجاوز عما تعلم إنك أنت الأعز الأكرم ، ثم يسجد سجدة أخرى ويقول فيها مثل ما قال في السجدة الأولى ثم يسأل حاجته في سجوده فإنها تقضى ”
(Maudhu’: Al-‘Iraqi dalam kitab Takhrij Ahadith Ihya’ 2/129 no. 629 mengtakan hadis ini maudhu’)

PUASA

عن الحسن قال قال رسول الله صلي الله عليه وسلم “من صام يوماً من رجب عدل له بصوم سنتين ، ومن صام النصف من رجب عدل له بصوم ثلاثين سنة”
(Dhaif: Lihat Silsilah Ahadith adh-Dhaifah wa al-Maudhu’ah lil Albani no. 4400 kerana hadis ini Mursal.)

PANDANGAN-PANDANGAN ULAMA’ BERKENAAN PUASA RAJAB.

Sheikh Abu Ra’uf al-Munawi dalam kitabnya Faidhul Qadir Syarh al-Jami’ as-Saghir Imam Nawawi mengatakan tidak ada hadis yang menyarankan agar berpuasa (Rajab-pen) dan tiada hadis yang melarangnya secara khas, maka kekal puasa secara dzatnya sunat.
(4/18.)

Imam Qaradawi mengatakan bahawasanya tiada sandaran dalil khas menyebutkan tentang kelebihan Bulan Rajab mahupun amalan-amalan tertentu di dalamnya kecuali ia ialah bulan hurum.(Lihat) Tetapi berpuasa dalam bulan-bulan hurum diterima dan dituntut.(Lihat)

KONKLUSI

1. Tiada hadis yang sahih mahupun hasan menyebut kelebihan-kelebihan bulan Rajab kecuali berkenaan ia ialah bulan hurum atau mengamalkan amalan tertentu dalam bulan ini.

2. Tiada salahnya untuk memperbanyakkan puasa bulan ini sepertimana puasa Nabi Allah Daud, puasa Isnin dan Khamis, atau puasa pada hari-hari putih bulan qamariah.

3. Beri’tiqadkan amalan-amalan khas dengan ganjaran-ganjaran tertentu daripada hadis Nabi SAW pada bulan ini boleh membawa kepada Bid’ah yang tercela.

4. Memperbanyakan amal baik pada 2 bulan terawal ini sebelum Ramadhan sebagai latihan (training ground).

p/s: Maaf pada semua pembaca. Tidak sempat untuk menterjemah hadis.

Comments (4) »

Setialah


Hari ini kali kedua bersama isteri di hospital. Cuma berbeza tempat. Terdahulu di PPUM, kali ini di Hospital Raub. Kuning anak semakin naik.

2 hari yang lalu, iaitu pada hari Jumaat malam saya bertolak pulang dengan hati yang berat, meninggalkan anak yang maih belum sihat. Namun, panggilan kerja harus dipenuhi. Besoknya jam 4.30 petang saya menerima panggilan dari isteri saya memaklumkan bahawasanya anak saya ditahan di dalam wad.

Jam 9.30 malam saya bertolak dari Shah Alam dan sampai di hospital jam 12.30 pagi.

Sejurus sahaja saya sampai di hospital (bahagian wad kanak-kanak), ibu kepada kepada pesakit di hadapan katil isteri saya menangis teresak-esak sambil memalingkan mukanya ke arah lain. Berketurunan cina.

“ Nape ma?” Tanya saya kepada isteri saya. Ingin tahu.

“ Tadii, kitorang berborak pastu dia citer la yang dia rasa keseorangan, sakit, penat, suami pula kerja. Pastu mama pun gtau rasa penat juga, tapi kejap lagi baba nak sampai. Tak lama lepas tu baba sampai. Sebab tu nangis tu kot. Suami dia pun keje kat KL juga, tapi tak balik”

“Ooooo…”membalas ayat isteri saya tanda faham.

Besarnya sumbangan seorang suami walau hanya berada di sisi isteri walaupun sekadar membatu tanpa bantu.

Tanpa kita sedari.

HARIAN METRO ONLINE

Hari ini saya melayari Harian Metro 19 Mac 2010, sesampai sahaja tajuk SAYA DIPUKAU saya terpukau.

Tak pasti nak respon bagaimana,marah,lucu, geram ataupun sedih.

Ramainya manusia ingin untuk mengikut sunnah nabi tetapi hikmah sunnah ini semakin terfitnah. MELARANG makan dengan sudu atas alasan ia tidak syar’ei dan tidak mengikut sunnah, makan nasi MESTILAH dengan hanya tiga jari tidak boleh dengan 5 jari kerana ia bukan sunnah dan yang lebih merisaukan ialah perkahwinan lebih daripada satu hanya kerana nak ikut sunnah yang dicipta

“Dia kata ini ikut sunnah Nabi, jadi saya setuju saja tanpa sempat berfikir panjang,” katanya.

Kisah berkenaan seorang ayah mengahwinkan anaknya kepada kenalannya di dalam kereta. Kenalannya itu sudah mempunyai 2 orang isteri. Ini melengkapkan yang ketiga.

Mengucap panjang saya.

Pastinya golongan yang memusuhi Islam atau melihat Islam dengan kacamata barat akan tersenyum lebar.

Inilah bola tanggung untuk mereka.

“Kita mesti smash rapat ni” Barangkali itulah luahan mereka di dalam hati.

KAHWIN LEBIH DARI SATU

“Itukan arahan Allah Taala. Kan dah tercatat dalam al-Quran ke Surah an-Nisa’ ayat 3” seorang pejuang untuk nak kahwin lebih dari satu mengemukakan hujjah.

“Emmm saya nak tanya awak boleh tak. Awak keje apa ye? tanya Ustaz Naim.

“Saya bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat GLC” balas Razi. Kemas. Smart gayanya.

“Gaji…?’

“Gaji kasar saya RM 1 900, campur elaun semua sekali hampir mencecah RM 3 000. Eh, kenapa Ustaz tanya?

“Isteri bekerja kan? Kalau dicampur-campur, berapa ye gaji awak berdua” tanya Ust Naim.

“Emmm hampir RM 5 000 juga”

“Boleh tak kalau awak tolak semua gaji awak dengan kos bulanan, rumah, anak, kereta, makan, pinjaman-pinjaman, berapa baki?

“Biasanya habis Ust, memang kena guna duit isteri juga” balasnya

“Kalau macam tu, sampai hati ke awak nak kahwin lagi kalau duit untuk nafkah untuk keluarga pun tak cukup?”

“Tapi ust, kalau dihimpunkan duit kami berdua, saving hampir RM 1 500 juga ust. Sebagai suami saya berhak menguruskan duit itu. Duit tu boleh je saya guna nak kawin”

“Raziii, awak tak baca ke ayat 233 Surah al-Baqarah dan ayat 7 Surah ath-Thalaq’.

Jangan baca sampai ayat 3 je… Yang WAJIB bagi nafkah kepada isteri dan anak awak tu ialah awak. Bukan isteri awak”

“Abis tu duit tu untuk siapa”

“Awak membenarkan dia bekerja, duit itu hanya untuk dia la. Dia nak bantu awak menguruskan menstabilkan kewangan rumahtangga pun dah cukup bagus”

ADIL

“’Lepas’ tak agak-agak pasal nafkah keluarga?” Tanya Ust Naim memberikan pukulan buah paku keras pada Razi.

Senyap tak berjawab.

“Awak agak-agak mampu berlaku adil tak kalau awak kahwin dua?”

“Insyaallah Ust. Itulah yang saya janji akan buat kalau berkahwin lagi nanti” balas Razi dengan penuh yakin.

“Lagipun itukan syarat yang Allah Ta’ala letak kalau nak kahwin lagi”tambahnya lagi.

“Hmmm…. Kalau macam tu ust nak tanya, antara awak dan Allah, siapa yang lebih pakar tentang keadilan ni” tanya Ust Naim. Soalan darjah 3 kelas KAFA.

“Tentulah Allah ustaz” jawabnya ringkas.

“ Tahu tak apa kata Allah berkenaan keadilan dalam rumahtangga ni”

ISLAM IS ABOUT LOYALTY

Lihatlah bagaimana Nabi SAW sangat menyantuni Khadijah, seorang isteri yang lebih tua berbanding suaminya. Sehingga selepas kematiannya, namanya masih lagi meniti di bibir Nabi SAW. Semua kenalannya dihormati dan disantuni hanya kerana sang kekasih di hati. Cinta ini berbekas hingga ke hujung usia Nabi SAW.

Jangan hanya diambil cerita Nabi SAW berkahwin ramai, tetapi lihatlah juga KENAPA Nabi SAW berkahwin ramai.

Kerana pada kenapa itulah akan merungkaikan segala kekusutan dan kekeliruan di minda.

SETIALAH…. Kerana itulah fitrah agama mengajarkan.

Comments (3) »

Adik-Adikku



Saya baru sahaja sampai dari kampung. Kepulangan saya ke kampung kali ini menjodohkan saya dengan program

ADIK-ADIKKU terbitan RTM dan JAKIM peringkat separuh akhir.

Malam ini sepanjang perjalanan saya dari Raub ke Shah Alam, saya mendengar pertandingan akhir program ini yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan.

Tahniah kepada semua yang terlibat.

Akhirnya kita mampu mendatangkan alternatif kepada rakyat Malaysia. Walaupun Indonesia sudahun mendahului kita dalam rancangan seperti ini, namun kita belum terlambat

Tentang kelemahan-kelemahan sepanjang rancangan ini, bolehlah ditutup mata, dipekakkan telinga.

Rancangan ini cukup bagus untuk tatapan keluarga. Barangkali ada pihak akan menganjurkan pertandingan menyanyi, pertandingan mencipta lagu, pertandingan bermain alat muzik menggunakan apa jua nama selagi tidak bercanggah dengan agama.

Yang penting ialah kita menunjukan kepada semua remaja dan rakyat Malaysia bahawasanya mereka masih ada ruang dalam Islam untuk mempamerkan bakat mereka.

Program seperti ini patut diteruskan. Sekurang-kurangnya air mata jantan saya berjaya gugur hasil daripada sentuhan adik-adik ini.

Tahniah kerana berjaya mendatangkan alternatif.

Leave a comment »

Bercinta Hingga ke Syurga


Ketika artikel ini ditulis,saya sedang berada di sisi isteri yang terlena keletihan di wad kanak-kanak 2 Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Keletihan dan kesakitan melahirkan anak pada hari Khamis yang lalu masih belum hilang.

Keletihan menyusukan anak masih dan sedang dirasai. Maklumkan anak lelaki kali, kerap menyusunya dan lama.

Keletihan melayani dan menyantuni keluarga tetamu yang datang semenjak hari pertama. (Terima kasih pada semua yang datang ziarah).

Keletihan menahan kesabaran mendengar tangisan anak yang diletakkan di bawah cahaya lampu. Sambil berlinangan air mata kerana kasih dan sayang pada si anak.

Keletihan ini sentiasa sambung menyambung bermula hari Jumaat yang lalu, 5 Mac iaitu pada hari contraction semakin kuat.

KENA TAHAN WAD

Semalam hajatnya nak cek demam kuning anak sekitar rumah sahaja, tetapi malangnya banyak klinik tutup.

Lalu kami bersetuju untuk terus ke PPUM. Pada jam 5.30 petang tahap kuning anak kami mencapai angka 252, agak tinggi berbanding sepatutnya.

Memandangkan ibunya memang berhasrat untuk menyusu badan secara penuh, maka ibunya juga di tahan di wad.

Semalam,sebelum saya pulang untuk menjenguk khabar mak dan anak di rumah, saya membelikan makanan dan majalah untuk bacaan isteri saya di wad.


Majalah Mingguan Wanita. Itu je yang ada yang menarik sikit pun.

Hari ini saya sempat membelek-belek majalah ini.

Bahagian editor, yang elok itu budi bertulis satu tajuk biarlah bercerai jalan terakhir dipilih.

ALASAN CERAI

Antara yang paling masyhur ialah tiada jodoh.

Jodoh kami hanya setakat ini.

Taqdir Allah Taala mengatasi segala.

Atau pasangan kuat merokok, ubah suai alat kelamin, pasangan bodoh atau lembam,berkira, banyak bercakap, kurang memuji, tiada sefahaman, curang,tidak mahu dimadu, masalah kewangan dan banyak lagi.

DUHAI SUAMI DAN BAKAL SUAMI

Isterimu pilihanmu.

Tidak sah seorang lelaki yang dipaksa berkahwin tanpa redhanya.

Engkau sudahpun mengambil alih tugasan untuk menjaga dan menyantuninya daripada ibu dan ayahnya.

Sanggup untuk bersamamu, insan yang baru dikenali beberapa tahun ini sahaja.

Meninggalkan keluarganya yang semenjak hari pertama kelahirannya mereka bersama, tempat yang menyimpan 1001 kenangan,kebahagiaan dan nostalgia.

Kiranya dia degil, tidak pandai memasak, banyak bercakap, tidak pandai mengemas…..

Bukankah engkau punyai kuasa untuk mendidiknya.

Seperti ibunya dan ayahnya mendidiknya sebelum menyerahkannya kepadamu.

Kenapa engkau tidak terus menyambung pendidikan itu…

BERSAMALAH ISTERIMU KETIKA KELAHIRAN ANAKMU

Buat para suami dan bakal suami.

Kiranya benar engkau membenci isterimu kerana kelemahannya, amatilah…

Kesakitannya ketika berusaha untuk memberikanmu hadiah.

Peganglah tangannya…Engkau akan dapati tangannya menggeletar menahan kesakitan

Usaplah dahinya…Engkau akan dapati ubun-ubunnya basah menahan keperitan.

Tatapilah wajahnya….Engkau akan dapati wajahnya tidak secantik biasa kerana sedang berjuang.

Amatilah segala….

Ketika itu tazkirahmu di telinganya, ucapanmu padanya barangkali kurang bermakna.

Kerana kehadiranmu di sisinya, dzikirmu di telinganya lebih bermakna berbanding segala.

Kenapa harus engkau membiarkan isterimu berjuang seorang diri mempertaruhkan nyawanya,

Sedangkan engkau berada di luar medan dengan hatimu gundah gulanan

Bersamalah dengan berjuang di medan.

Dia amat memerlukanmu di sisinya.

Percayalah, cukuplah perjuangan melahirkan anak buatmu itu menghapuskan segala kelemahan dan keburukan yang ada padanya.

Yang ada hanyalah cinta dan penghargaan.

PERHARGAAN

Isteri saya terjaga.

Soalan pertama yang keluar selepas membuka mata ialah

“Takpe ke mama baring?”.

Apabila melihat suaminya sedang setia menanti di sisinya.

“Ya Allah, kekalkanlah kami dalam redhaMu hingga ke Syurga”

Comments (4) »