Kanan Atas Kiri



Biasa duduk bersilang atau kunjurkan kaki?

Pastinya semua orang biasa kan… Cuma kita inginkan cara kita menyilangkan kaki kita pun ada sandarannya dalam agama. Itulah keistimewaan agama Islam berbanding mana-mana agama di dunia. Semuanya ada panduan dalam agama.

Persoalannya bagaimanakah caranya untuk memastikan cara kita duduk bersilang kaki itu mengikut sebagaimana panduan kita dalam beribadat?

“Ust,Nabi SAW pernah duduk melunjur dengan bersilang kaki ke?” Tanya Airil.

“Itu wallah a’lam, ustaz tidak pasti. Cuma kalau nak bersilang kaki dengan mengikut panduan ibadat macamana?” Tanya saya kepada para pendengar yang rata-ratanya dari kalangan remaja.

“Ikhlaskan niat ust” bunyi satu suara dari belakang.

Ntah suara siapa. Yang pastinya tiada siapa pun yang mengaku bila ditanya suara siapakah itu.

“Betul, Cuma yang ustaz maksudkan ialah postur badan kita ketika itu macamana kalau kita nak pastikan lunjur kaki atau silang kaki itu mengikut cara kita beribadat” tambah saya.

MENDAHULUKAN YANG KANAN

Prioriti apabila berbuat sesuatu yang baik ialah anggota badan kita yang sebelah kanan terlebih dahulu sebelum kiri. Begitu juga apabila kita melunjur atau duduk dengan bersilang kaki. Utamakan yang sebelah kanan terlebih dahulu.

CARA KITA SOLAT

Tanpa keraguan lagi, selepas kita melafazkan takbiratul ihram, maka tangan kanan kita akan berada di atas tangan kiri.

Maka begitu jugalah apabila kita duduk atau melunjurkan kaki, maka letakkanlah kaki kanan kita di atas kaki kiri.

Comments (1) »

Sediakanlah alternatif


“ Ust, apa hukum menyambut maulid” Antara soalan yang paling acap ditanya bulan ini. Maka bermacamlah jawapan yang diberikan oleh sang ustaz kepada si penanya.

Antara jawapan yang dilihat agak menongkah arus pada hari ini khususnya kepada generasi lama ialah
“Menyambut maulid ialah bid’ah. Di zaman Nabi SAW dan para sahabat,tidak pernah anjurkan sambutan seperti ini. Ada soalan lain lagi?” Ringkas jawapan Ustaz Ali kepada si penanya.

FEQAH TANPA DA’WAH

Apabila memberikan jawapan tanpa melihat kepada situasi dan keadaan semasa setempat serta keadaan semasa umat Islam dalam Negara, maka kita khuatir akan melahirkan lebih banyak ‘hakim’ berbanding dai’e, secara tak langsung akan menjauhkan umat Islam yang baru ingin mendekati akan menjauhi.

Teringat saya kepada soalan popular pelajar-pelajar apabila dijemput memberikan ceramah atau sharing moment berkenaan cinta dan baitul muslim.

“Ust, apa hukum kita bercinta dan bercouple” Tanya seorang pelajar.

“Sejak bila bahasa meris ini wujud ye? Bentak saya di dalam hati.

Bahasa meris ialah bahasa melayu inggeris.

“Hukum asal pada yang tiada nash yang qathie ialah harus.Begitu juga dengan bercinta. Bercintalah kerana itu tanda anda manusia. Punyai hati.Punyai jiwa. Begitu juga dengan cinta muda mudi ini, BOLEH dan HARUS dengan syarat:

1- Tidak boleh keluar berdua-dua (termasuk juga bertiga-tiga dengan adik berumur 2 tahun).
2- Tidak boleh telefon dan bermesej tanpa tujuan yang syar’ie
3- Tidak boleh nak khayal-khayal, ingat-ingat, membasahkan jiwa merindui si dia, menggersangkan diri kononnya atas tiket sedang bercinta.” Jawab saya selambe sambil menantikan respon mereka.

Masih menanti.

Senyap

Kelihatannya seperti mereka sedang berfikir.

“Abis tu ust, baik tak yah bercinta kalau semua tu tak boleh” balas si penanya sambil digaru kepalanya.

Sambil dewan riuh dengan hilai tawa para hadirin.

“Hehehe….tau takpe.”

“Abis tu ust takkan takde cara lain bagi orang yang gersang macam kawan saya ni” Sambil menghalakan jari telunjuknya kepada kawannya.

Riuh sekali lagi dengan gurauan dua sahabat ini.

“ Tapi tak salah, kalau betul berkenan, jumpa terus mak ayah dia. Bincang perancangan kamu. Selepas semua setuju, berhubunglah setelah betul -betul nak kahwin nanti. Dalam tempoh itu, SETIALAH tanpa bicara”

“Tapi ust, kalau dia curang?”

“Bersyukurlah kerana dia memang seorang yang tidak setia. Anda perlukan seorang isteri yang setia bukan?”
Hmmmm……

Senyap. Sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

Moga-moga idea mendekati itu dapat diterima.

Atau lebih elok kalau jawapan saya begini?

“Bercinta dan bercouple macam muda-mudi sekarang ini, dating, chatting, keluar berjumpa, saling berSMS merupakan perkara yang tidak syari’e. Melakukan perkara seperti ini haram”

Apakah agaknya respon para hadirin yang rata-ratanya muda-mudi.

Matlamatnya jawapannya sama, cuma dengan cara yang berbeza.

Begitu juga dalam kita melayani persoalan berkenaan maulid, di samping melarang sediakanlah cadangan dan alternatif.

ALLAH DAN ALTERNATIF

Beralternatiflah, kerana itulah cara Tuhan kita.

Leave a comment »

Teringat Kata-kata Ayah..

Saya biasanya akan membeli akhbar Mingguan Malaysia iaitu pada hari Ahad. Bukannya apa.

Hanya pada hari tu pada saya lebih banyak fakta dipaparkan.

Fakta Kesihatan.
Kupasan isu-isu global.
Ada perkara berkaitan dengan teknologi.
Rencana-rencana
Sastera.

Bukannya tidak berminat membeli pada hari lain. Tapi berita di dalamnya banyak yang tidak tepat ibaratnya seperti menggambarkan gajah dengan hanya memegang pada ekornya sahaja. Walaupun sebenarnya pada hari Ahad pun sama je.

Tapi ok la juga. Ada bahan sikit.

Tapi,paparan Mingguan Malaysia pada hari Ahad lalu, 28 Febuari 2010 mengingatkan saya kepada satu hadis Nabi SAW

“Haa kalau macam tu,saya memang tak malu…jadi tak dak masalah la kalau saya nak buka aurat. Nabi pun bagi” Lagaknya buat-buat pandai memberikan argument.

Teringat kata-kata ayah sewaktu saya kecik-kecik dulu. Kan kalau kita anak-anak lelaki khususnya kat kampung,panjat pokok ini ibaratnya zikir amalan harian,jatuh menunjukan ke’macho’an.

Mak mula bising. Ayah masih tenang.

Tak serik lagi,naik lagi..jatuh lagi, luka sikit tapi biasa la kan anak lelaki.

Mak semakin membebel. Ayah mula menjeling.

Tak serik lagi, naik lagi….jatuh lagi. Ayah datang…

“Haaa!! Pi naik lagi. Pi kghabat (panjat)lagi tengok. Ayah nak tengok” sambil tangannya memegang rotan.

Apa lagi berdesup menghilangkan diri.

Buat orang yang suka membuka aurat dan mendedahkan aib orang, buatlah semahumu sebelum ‘rotan’ Allah singgah di badanmu.

Kalau berani.

Comments (3) »

Status Hadis Tentang Maulid


Soalan.

Saya ingin bertanya tentang status hadis di bawah yang menceritakan tentang kelebihan menyambut maulid:

1- Artinya: “Barangsiapa membesarkan hari kelahiranku niscaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan satu dirham untuk Maulidku maka seolah-olah ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”

2- berkata Saiyidina Abu Bakar As Siddiq radhi Allahu ‘anhu: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam Surga.”

3- berkata pula Saiyidina Utsman radhi Allahu ‘anhu: “Barang siapa mengeluarkan satu dirham untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. maka seolah-olah ia mati syahid didalam peperangan Badar dan Hunain.”

4- berkata Saiyidina Ali karamallahu wajhahu: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka ia tidak akan keluar daripada dunia melainkan keadaannya di dalam iman.”

Jawapan:

Saya tidak berhajat untuk menghuraikan berkenaan hukum menyambut maulid, ia sudah banyak diperbahaskan dan diperdebatkan dalam laman sesawang, insyaallah saya akan fokus untuk menjawab berkenaan status hadis sahaja.

Mengingati Baginda SAW sangatlah dituntut dalam agama sebagaimana firman Allah dalam Surah Aali ‘Imran ayat 31 dan disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitabnya (jilid 5 mukasurat 297 hadis bernombor 22594)

Namun, dalam keghairahan kita menceritakan tentang fadhail (kelebihan2) maulid nabi SAW ,sandaran hadis yang ingin kita ungkapkan dan sampaikan haruslah dari sumber yang sahih ataupun sekurang-kurangnya dhaif dengan dhaif yang ringan (pada perawinya bukan pada matannya).

Setakat ilmu cetek yang saya ada berikut adalah pandangan saya:

1. Telah di riwayatkan satu hadith Nabi s.a.w. seperti berikut:
Artinya: “Barangsiapa membesarkan hari kelahiranku niscaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan satu dirham untuk Maulidku maka seolah-olah ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”

Hadis di atas tidak ada asal usulnya. Ia adalah hadis yang maudhu’. Pandangan ini dikemukakan oleh bekas Mufti Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Said Alwe Tahir al-haddad (sumber).

2. Dan telah berkata Saiyidina Abu Bakar As Siddiq radhi Allahu ‘anhu: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam Surga.”

Di antara ciri-ciri hadis yang dhaif ialah bercanggah secara jelas dengan hadis-hadis yang sahih. Iman Abu Bakr adalah di kemuncak keimanan, sangat jauh jika dibandingkan dengan kita. Saya cuba mencari hadis di atas, dan di bawah ialah matan asalnya

قال ابو بكر رضي الله عنه: من أنفق درهما على قراءة مولد النبي صلى الله عليه وسلمكان رفيقي في الجنة
Saya cuba mencari status ini dalam software 1 000 kitab hadis tetapi tidak ketemui satupun hadis seperti di atas.

3. Dan telah berkata pula Saiyidina Utsman radhi Allahu ‘anhu: “Barang siapa mengeluarkan satu dirham untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. maka seolah-olah ia mati syahid didalam peperangan Badar dan Hunain.”
Beriktu adalah matan dalam bahasa Arabnya

وقال عثمان رضي الله عنه :من أنفق درهما على مولد النبي صلى الله عليه وسلمفكأن ما شهد غزوة بدر وحنين
Saya cuba mencari status ini tetapi gagal menjumpainya di mana-mana kitab atau laman web yang menjelaskan status hadis ini.Waalah a’lam, maksud hadis ini sudah memberikan gambaran yang hadis ini ialah maudhu’. Ini kerna mati syahid tiada nilaian dengan amalan2 biasa. Kedua: Ahli Badar mana mungkin akan dapat dibandingkan dengan amalan2 biasa. Ini kerana keelbihan ahli badar dirakam Allah Taala dalam surah at-taubah ayat 100.

4. Dan telah berkata Saiyidina Ali karamallahu wajhahu: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka ia tidak akan keluar daripada dunia melainkan keadaannya di dalam iman.”

Maaf, matan dalam bahasa Arabnya tidak dapat dipamerkan (tak pasti kenapa).

Status dan huraiannya sama seperti di atas.

Perlu saya tekankan di sini…perkara yang disentuh di atas BUKANLAH berkenaan boleh atau tak sambut maulid tetapi HANYALAH PENCERAHAN STATUS HADIS SAHAJA . Dikhuatirkan sekiranya kita termasuk dalam golongan membantu memanjangkan urusan pemalsuan hadis, maka sebenarnya kita menempah tempat duduk dari api neraka.

Adapun berkenaan menyambut Maulid,sambutlah selagi tidak bercanggah dengan nash yang qathie dalam syara’.

Leave a comment »

Siapakah yang suci?

Salam,
Betulkah ayat dalam surah al-Waaqi’ah ayat 59 {لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ}bermaksud para malaikat?

Jawapan:

Wallah a’lam. Semoga Allah akan membantu.

{إِنَّهُ لَقُرْآَنٌ كَرِيمٌ . فِي كِتَابٍ مَكْنُونٍ . لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ .}
Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; (al-Waqi’ah: 77-79)

QURAN DI LANGIT

Menurut Ibn ‘Abbas dhamir “ ه“ pada ayat لَا يَمَسُّهُ itu kembali kepada al-Quran yang berada di langit. Dari itu, maksud الْمُطَهَّرُونَ di sini di sisi Ibn ‘Abbas, Anas, Mujahid, ‘Ikrimah, Sai’d bin Jubair, Dhahhak, Abu Sya’tha’ Jabir bin Zaid, Abu Nahik, as-Suddi, Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam dan selain mereka ialah para Malaikat. Iaitu al-Quran yang berada di sisi Allah hanya mampu disentuh oleh malaikat, adapun al-Quran di dunia disentuh oleh ramai kelompok manusia (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 7/544)

QURAN DI BUMI

Sekelompok Ulama’ yang lain mengatakan maksud Quran yang disebut dalam ayat di atas ialah al-mashaf ataupun Quran yang berada di bumi. Ini berdalilkan kepada beberapa hujjah di bawah

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه و سلم نهى أن يسافر بالقرآن إلى أرض العدو.
Abdullah bin ‘Umar meriwayatkan bahawasanya Baginda SAW melarang untuk pergi berjihad ke negara musuh dengan membawa al-Quran
(Sahih: Sahih Bukhari 3/1090, hadis nombor 2828)

Ibn ‘Abdul Barr mengatakan para fuqaha’ mengatakan tidak (boleh-perkataan penulis) membawa al-Quran dalam peperangan yang disertai oleh jumlah tentera yang sedikit. (Lihat: Fathul Baari li Ibn Hajar al-‘Asqalaani 6/133)

Dari itu, maksud الْمُطَهَّرُونَ di sini ialah suci daripada hadas kecil mahupun besar.

SIAPAKAH AL-MUTHAHHARUN?

1- ‘Ikrimah mengatakan mereka ialah pembawa Taurat dan Injil (Lihat: Jaami’ul Bayan Fi Ta’wil al-Quran Lil Imam ath-Thobari 23/151)
2- Abi al-‘Aliyah dan Ibn Zaid mengatakan mereka ialah para Malaikat dan para Rasul (Ibid)
3- Suci daripad ahadas kecik dan hadas besar

MAKSUD ُطَهَّرُ DALAM AYAT

1- ‘Atha’, Thaus, Salim, Qasim, Imam Malik,Imam Syafie dan pandangan kebanyakan fuqaha’ mengatakan maksud suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
(Lihat: Ma’alim at-Tanzil Lil Imam Baghawi 8/23)
2- Hammad, Hakam dan Abu Hanifah mengatakan harus orang yang berhadas kecil atau besar untuk menyentuh dan membawa al-Quran (Lihat: Ibid)

PANDANGAN TERPILIH

Maksud al-Muthaharun di dalam ayat ialah para Malaikat. Dari sudut hukum fekah, Ibn Baaz mengatakan tidak harus memegang al-Quran dalam keadaan tanpa suci atau tanpa wudhu’. Saya wallah a’lam bersama Allamah.

Ibn Zaid menceritakan bahawasanya golongan Musyrikin Mekah menyangkakan al-Quran ini diturunkan oleh para syaitan, lalu Allah menjawab mereka bahawasanya yang hanya boleh menyentuh al-Quran hanyalah golongan yang suci sahaja. Juga sebagaimana dalam ayat yang lain yang berbunyi

{ وَمَا تَنزلَتْ بِهِ الشَّيَاطِينُ . وَمَا يَنْبَغِي لَهُمْ وَمَا يَسْتَطِيعُونَ . إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ }
Dan Al-Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh Syaitan-syaitan. Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya. Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat. (asy-Syua’ara’: 210-212)
(Lihat: Ibn Kathir 7/544)

{ وَإِنَّهُ لَتَنزِيلُ رَبِّ العالمين نَزَلَ بِهِ الروح الأمين على قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ المنذرين}
Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (asy-Syua’ra’: 192-194)

Saya lebih cenderung untuk memahami bahawasanya ayat فِي كِتَابٍ مَكْنُونٍ lebih membawa maksud ia terpelihara di Luh Mahfuz sebagaimana disebut dalam kitab Ruh Ma’ani Fi Tafsir al-Quran al-‘Azhim Wa Sab’ul Mathani lil Imam Alusi (20/273). Dari itu saya lebih cenderung memahami bahawasanya maksud al-Muthahharun di dalam ayat di atas ialah para Malaikat.

Selain atas sebab-sebab di atas, ayat ini juga merupakan ayat Makkiah (Lihat: Tafsir al-Wasith Li asy-Syaikh Sayyid Thantawi dalam mentafsirkan ayat di atas) yang mana ayatnya banyak menekankan berkenaan dengan keimanan kepada Allah.

NAMUN,

menjadi sifat asas al-Quran, hukum tidak diambil atas sebab yang khusus tetapi atas keumuman lafaz.
العبرة بعموم اللفظ ليس بخصوص السبب

Melihat ke dalam Surah asy-Syuara’ ayat 192-194 di atas merupakan jawapan kepada kaitan dengan Surah al-Waqi’ah ini. Bahawasanya al-Quran ini adalah panduan untuk umat Islam. Sebagaimana perlembagaan mana-mana negara harus dihormati, maka apatah lagi al-Quran. Ia diturunkan dari Luh Mahfuz untuk manfaat dan pedoman semua manusia.

Selain itu, dalam hadis riwayat Imam Bukhari di atas, di antara sebab Nabi SAW melarang membawa al-Quran ke medan peperangan ialah khuatir akan jatuh ke tangan musuh seperti dalam riwayat
عن ابن عمر أن رسول الله صلى الله عليه و سلم { نهى أن يسافر بالقرآن إلى أرض العدو مخافة أن يناله العدو}
Abdullah bin ‘Umar meriwayatkan bahawasanya Baginda SAW melarang untuk pergi berjihad ke negara musuh dengan membawa al-Quran kerana khuatir akan jatuh ke tangan musuh.
(Sahih: Sunan Ibn Majah 2/961 hadis nombor 2879. Disahihkan oleh Sheikh Albani)

Di dalam al-Quran, Allah menceritakan status orang musrikin
} يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ…}
Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang musrikin itu najis….
Imam Ibn Kathir mengatakan mereka itu kotor atau bernajis dari sudut agama dan kepercayaan mereka. (Lihat Tafsir Ibn Kathir 4/130)

Maka, persamaan antara dua nas di atas ialah Nabi SAW khuatir al-Quran akan jatuh ke tangan musuh. Dan musuh Islam ialah orang yang syirik kepada Allah. Orang yang syirik kepada Allah, Allah sifatkan sebagai najis.
Maka, bagaimana orang yang bernajis harus memegang al-Quran.

Orang Musyrikin dilarang untuk masuk ke Masjid Haram dek kerana kehebatan dan kemuliaan Masjid Haram seperti yang Allah nukilkan dalam ayat

{سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ}
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Isra’: 1)

Maka, begitu jugalah Allah muliakan al-Quran

{لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآَنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ}
Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. (Surah al-Hasyr: 21)

Maka, kita perlu sepakat bahawasanya Al-Quran dan Masjid al-Haram kedua-duanya mulia, tidak harus memegang atau masuk sekiranya dalam keadaan bernajis dari sudut pegangan.

BAGAIMANA SEKIRANYA HANYA DALAM HADAS KECIL

عمرو بن حزم عن أبيه عن جده ” أن النبي ( صلى الله عليه وسلم ) كتب إلى أهل اليمن كتابا وفيه : لا يمس القرآن إلا طاهر ”
‘Amru bin Hazm meriwayatkan daripada ayahnya daripada datuknya bahawa Nabi SAW menulis kepada penduduk Yaman dan (antara isi kandungannya-penulis) ialah “Janganlah kamu menyentuh al-Quran kecuali dalam keadaan bersuci”

(Status hadis yang diperbahaskan, Imam Ahmad berhujjah dengannya, Imam Malik meriwayatkan secara Mursal (Irwa’ al-Ghalil Fi Takhrik Ahadith al-Mannar as-Sabil lil Imam Albani 1/158) Imam al-Haithami mengatakan perawinya tsiqah(Subul Salam 1/220)

Dari itu, saya membezakan antara maksud ayat di atas dengan pandangan dan penghujahan dari sudut fekah dan usul fekah. Cara mendapatkan hukum hakam ialah dengan membaca nash dengan cara cross refer.

Saya hanya ingin menyatakan kurang tepat menyalahkan orang lain yang memegang pandangan yang tidak selari dengan kita. Selagi mana di atas hujjah, maka raikanlah. Sepatutnya isu patut diperbahaskan lagi secara lebih ilmiah, namun atas kudrat tenaga pada jam 3 pagi ini, setakat inilah termampu. Antara perkara yang belum disentuh dalam artikel ini ialah:
1- apakah yang dimaksudkan dengan لا,
2- apakah ayat berbentuk statement ini bermaksud sebenarnya bermaksud larangan, kalau betul bagaimana boleh jadi begitu
3- Kenapa selepas إلا ditutup dengan المطهرون dan bukan dengan المطهرين.
4- Perbahasan dari sudut fekah, dan usul fekah
5- Memahami nash dari sudut tafsir dan dari sudut cara pengambilan hukum.
Tawadhu’lah.
Ilmu Allah sangat luas.

Leave a comment »

Bandingan Perlembagaan

Semalam ketika berada di Pontian, Johor kerana menghadiri kenduri di rumah ibu saudara isteri saya, terbaca akhbar Utusan Malaysia berkenaan bantahan yang dibuat oleh Sister In Islam berkenaan hukuman rotan yang dikenakan kepada 3 wanita muslimah yang dilakukan di Penjara Kajang. (Sumber)

Sedih apabila melihat organisasi yang bernama dan kononnya ‘berakarkan’ Islam lebih ‘bertuhankan’ rujukan selain Quran dan Sunnah.

Apabila mellihat artikel 4 (1) Perlembagaan Malaysia, nampaknya tidak jauh bezanya dengan artikel 4 (59) Perlembagaan Allah Ta’ala.

Anda nilaikan sendiri, apakah maksudnya berbeza?

p/s: Doakan keselamatan pulang ke Shah Alam petang ini.

Comments (1) »

LOVE IS CHINTA

Comments (4) »