Archive for Mac, 2010

Setialah


Hari ini kali kedua bersama isteri di hospital. Cuma berbeza tempat. Terdahulu di PPUM, kali ini di Hospital Raub. Kuning anak semakin naik.

2 hari yang lalu, iaitu pada hari Jumaat malam saya bertolak pulang dengan hati yang berat, meninggalkan anak yang maih belum sihat. Namun, panggilan kerja harus dipenuhi. Besoknya jam 4.30 petang saya menerima panggilan dari isteri saya memaklumkan bahawasanya anak saya ditahan di dalam wad.

Jam 9.30 malam saya bertolak dari Shah Alam dan sampai di hospital jam 12.30 pagi.

Sejurus sahaja saya sampai di hospital (bahagian wad kanak-kanak), ibu kepada kepada pesakit di hadapan katil isteri saya menangis teresak-esak sambil memalingkan mukanya ke arah lain. Berketurunan cina.

“ Nape ma?” Tanya saya kepada isteri saya. Ingin tahu.

“ Tadii, kitorang berborak pastu dia citer la yang dia rasa keseorangan, sakit, penat, suami pula kerja. Pastu mama pun gtau rasa penat juga, tapi kejap lagi baba nak sampai. Tak lama lepas tu baba sampai. Sebab tu nangis tu kot. Suami dia pun keje kat KL juga, tapi tak balik”

“Ooooo…”membalas ayat isteri saya tanda faham.

Besarnya sumbangan seorang suami walau hanya berada di sisi isteri walaupun sekadar membatu tanpa bantu.

Tanpa kita sedari.

HARIAN METRO ONLINE

Hari ini saya melayari Harian Metro 19 Mac 2010, sesampai sahaja tajuk SAYA DIPUKAU saya terpukau.

Tak pasti nak respon bagaimana,marah,lucu, geram ataupun sedih.

Ramainya manusia ingin untuk mengikut sunnah nabi tetapi hikmah sunnah ini semakin terfitnah. MELARANG makan dengan sudu atas alasan ia tidak syar’ei dan tidak mengikut sunnah, makan nasi MESTILAH dengan hanya tiga jari tidak boleh dengan 5 jari kerana ia bukan sunnah dan yang lebih merisaukan ialah perkahwinan lebih daripada satu hanya kerana nak ikut sunnah yang dicipta

“Dia kata ini ikut sunnah Nabi, jadi saya setuju saja tanpa sempat berfikir panjang,” katanya.

Kisah berkenaan seorang ayah mengahwinkan anaknya kepada kenalannya di dalam kereta. Kenalannya itu sudah mempunyai 2 orang isteri. Ini melengkapkan yang ketiga.

Mengucap panjang saya.

Pastinya golongan yang memusuhi Islam atau melihat Islam dengan kacamata barat akan tersenyum lebar.

Inilah bola tanggung untuk mereka.

“Kita mesti smash rapat ni” Barangkali itulah luahan mereka di dalam hati.

KAHWIN LEBIH DARI SATU

“Itukan arahan Allah Taala. Kan dah tercatat dalam al-Quran ke Surah an-Nisa’ ayat 3” seorang pejuang untuk nak kahwin lebih dari satu mengemukakan hujjah.

“Emmm saya nak tanya awak boleh tak. Awak keje apa ye? tanya Ustaz Naim.

“Saya bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat GLC” balas Razi. Kemas. Smart gayanya.

“Gaji…?’

“Gaji kasar saya RM 1 900, campur elaun semua sekali hampir mencecah RM 3 000. Eh, kenapa Ustaz tanya?

“Isteri bekerja kan? Kalau dicampur-campur, berapa ye gaji awak berdua” tanya Ust Naim.

“Emmm hampir RM 5 000 juga”

“Boleh tak kalau awak tolak semua gaji awak dengan kos bulanan, rumah, anak, kereta, makan, pinjaman-pinjaman, berapa baki?

“Biasanya habis Ust, memang kena guna duit isteri juga” balasnya

“Kalau macam tu, sampai hati ke awak nak kahwin lagi kalau duit untuk nafkah untuk keluarga pun tak cukup?”

“Tapi ust, kalau dihimpunkan duit kami berdua, saving hampir RM 1 500 juga ust. Sebagai suami saya berhak menguruskan duit itu. Duit tu boleh je saya guna nak kawin”

“Raziii, awak tak baca ke ayat 233 Surah al-Baqarah dan ayat 7 Surah ath-Thalaq’.

Jangan baca sampai ayat 3 je… Yang WAJIB bagi nafkah kepada isteri dan anak awak tu ialah awak. Bukan isteri awak”

“Abis tu duit tu untuk siapa”

“Awak membenarkan dia bekerja, duit itu hanya untuk dia la. Dia nak bantu awak menguruskan menstabilkan kewangan rumahtangga pun dah cukup bagus”

ADIL

“’Lepas’ tak agak-agak pasal nafkah keluarga?” Tanya Ust Naim memberikan pukulan buah paku keras pada Razi.

Senyap tak berjawab.

“Awak agak-agak mampu berlaku adil tak kalau awak kahwin dua?”

“Insyaallah Ust. Itulah yang saya janji akan buat kalau berkahwin lagi nanti” balas Razi dengan penuh yakin.

“Lagipun itukan syarat yang Allah Ta’ala letak kalau nak kahwin lagi”tambahnya lagi.

“Hmmm…. Kalau macam tu ust nak tanya, antara awak dan Allah, siapa yang lebih pakar tentang keadilan ni” tanya Ust Naim. Soalan darjah 3 kelas KAFA.

“Tentulah Allah ustaz” jawabnya ringkas.

“ Tahu tak apa kata Allah berkenaan keadilan dalam rumahtangga ni”

ISLAM IS ABOUT LOYALTY

Lihatlah bagaimana Nabi SAW sangat menyantuni Khadijah, seorang isteri yang lebih tua berbanding suaminya. Sehingga selepas kematiannya, namanya masih lagi meniti di bibir Nabi SAW. Semua kenalannya dihormati dan disantuni hanya kerana sang kekasih di hati. Cinta ini berbekas hingga ke hujung usia Nabi SAW.

Jangan hanya diambil cerita Nabi SAW berkahwin ramai, tetapi lihatlah juga KENAPA Nabi SAW berkahwin ramai.

Kerana pada kenapa itulah akan merungkaikan segala kekusutan dan kekeliruan di minda.

SETIALAH…. Kerana itulah fitrah agama mengajarkan.

Advertisements

Comments (3) »

Adik-Adikku



Saya baru sahaja sampai dari kampung. Kepulangan saya ke kampung kali ini menjodohkan saya dengan program

ADIK-ADIKKU terbitan RTM dan JAKIM peringkat separuh akhir.

Malam ini sepanjang perjalanan saya dari Raub ke Shah Alam, saya mendengar pertandingan akhir program ini yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan.

Tahniah kepada semua yang terlibat.

Akhirnya kita mampu mendatangkan alternatif kepada rakyat Malaysia. Walaupun Indonesia sudahun mendahului kita dalam rancangan seperti ini, namun kita belum terlambat

Tentang kelemahan-kelemahan sepanjang rancangan ini, bolehlah ditutup mata, dipekakkan telinga.

Rancangan ini cukup bagus untuk tatapan keluarga. Barangkali ada pihak akan menganjurkan pertandingan menyanyi, pertandingan mencipta lagu, pertandingan bermain alat muzik menggunakan apa jua nama selagi tidak bercanggah dengan agama.

Yang penting ialah kita menunjukan kepada semua remaja dan rakyat Malaysia bahawasanya mereka masih ada ruang dalam Islam untuk mempamerkan bakat mereka.

Program seperti ini patut diteruskan. Sekurang-kurangnya air mata jantan saya berjaya gugur hasil daripada sentuhan adik-adik ini.

Tahniah kerana berjaya mendatangkan alternatif.

Leave a comment »

Bercinta Hingga ke Syurga


Ketika artikel ini ditulis,saya sedang berada di sisi isteri yang terlena keletihan di wad kanak-kanak 2 Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Keletihan dan kesakitan melahirkan anak pada hari Khamis yang lalu masih belum hilang.

Keletihan menyusukan anak masih dan sedang dirasai. Maklumkan anak lelaki kali, kerap menyusunya dan lama.

Keletihan melayani dan menyantuni keluarga tetamu yang datang semenjak hari pertama. (Terima kasih pada semua yang datang ziarah).

Keletihan menahan kesabaran mendengar tangisan anak yang diletakkan di bawah cahaya lampu. Sambil berlinangan air mata kerana kasih dan sayang pada si anak.

Keletihan ini sentiasa sambung menyambung bermula hari Jumaat yang lalu, 5 Mac iaitu pada hari contraction semakin kuat.

KENA TAHAN WAD

Semalam hajatnya nak cek demam kuning anak sekitar rumah sahaja, tetapi malangnya banyak klinik tutup.

Lalu kami bersetuju untuk terus ke PPUM. Pada jam 5.30 petang tahap kuning anak kami mencapai angka 252, agak tinggi berbanding sepatutnya.

Memandangkan ibunya memang berhasrat untuk menyusu badan secara penuh, maka ibunya juga di tahan di wad.

Semalam,sebelum saya pulang untuk menjenguk khabar mak dan anak di rumah, saya membelikan makanan dan majalah untuk bacaan isteri saya di wad.


Majalah Mingguan Wanita. Itu je yang ada yang menarik sikit pun.

Hari ini saya sempat membelek-belek majalah ini.

Bahagian editor, yang elok itu budi bertulis satu tajuk biarlah bercerai jalan terakhir dipilih.

ALASAN CERAI

Antara yang paling masyhur ialah tiada jodoh.

Jodoh kami hanya setakat ini.

Taqdir Allah Taala mengatasi segala.

Atau pasangan kuat merokok, ubah suai alat kelamin, pasangan bodoh atau lembam,berkira, banyak bercakap, kurang memuji, tiada sefahaman, curang,tidak mahu dimadu, masalah kewangan dan banyak lagi.

DUHAI SUAMI DAN BAKAL SUAMI

Isterimu pilihanmu.

Tidak sah seorang lelaki yang dipaksa berkahwin tanpa redhanya.

Engkau sudahpun mengambil alih tugasan untuk menjaga dan menyantuninya daripada ibu dan ayahnya.

Sanggup untuk bersamamu, insan yang baru dikenali beberapa tahun ini sahaja.

Meninggalkan keluarganya yang semenjak hari pertama kelahirannya mereka bersama, tempat yang menyimpan 1001 kenangan,kebahagiaan dan nostalgia.

Kiranya dia degil, tidak pandai memasak, banyak bercakap, tidak pandai mengemas…..

Bukankah engkau punyai kuasa untuk mendidiknya.

Seperti ibunya dan ayahnya mendidiknya sebelum menyerahkannya kepadamu.

Kenapa engkau tidak terus menyambung pendidikan itu…

BERSAMALAH ISTERIMU KETIKA KELAHIRAN ANAKMU

Buat para suami dan bakal suami.

Kiranya benar engkau membenci isterimu kerana kelemahannya, amatilah…

Kesakitannya ketika berusaha untuk memberikanmu hadiah.

Peganglah tangannya…Engkau akan dapati tangannya menggeletar menahan kesakitan

Usaplah dahinya…Engkau akan dapati ubun-ubunnya basah menahan keperitan.

Tatapilah wajahnya….Engkau akan dapati wajahnya tidak secantik biasa kerana sedang berjuang.

Amatilah segala….

Ketika itu tazkirahmu di telinganya, ucapanmu padanya barangkali kurang bermakna.

Kerana kehadiranmu di sisinya, dzikirmu di telinganya lebih bermakna berbanding segala.

Kenapa harus engkau membiarkan isterimu berjuang seorang diri mempertaruhkan nyawanya,

Sedangkan engkau berada di luar medan dengan hatimu gundah gulanan

Bersamalah dengan berjuang di medan.

Dia amat memerlukanmu di sisinya.

Percayalah, cukuplah perjuangan melahirkan anak buatmu itu menghapuskan segala kelemahan dan keburukan yang ada padanya.

Yang ada hanyalah cinta dan penghargaan.

PERHARGAAN

Isteri saya terjaga.

Soalan pertama yang keluar selepas membuka mata ialah

“Takpe ke mama baring?”.

Apabila melihat suaminya sedang setia menanti di sisinya.

“Ya Allah, kekalkanlah kami dalam redhaMu hingga ke Syurga”

Comments (4) »

Kanan Atas Kiri



Biasa duduk bersilang atau kunjurkan kaki?

Pastinya semua orang biasa kan… Cuma kita inginkan cara kita menyilangkan kaki kita pun ada sandarannya dalam agama. Itulah keistimewaan agama Islam berbanding mana-mana agama di dunia. Semuanya ada panduan dalam agama.

Persoalannya bagaimanakah caranya untuk memastikan cara kita duduk bersilang kaki itu mengikut sebagaimana panduan kita dalam beribadat?

“Ust,Nabi SAW pernah duduk melunjur dengan bersilang kaki ke?” Tanya Airil.

“Itu wallah a’lam, ustaz tidak pasti. Cuma kalau nak bersilang kaki dengan mengikut panduan ibadat macamana?” Tanya saya kepada para pendengar yang rata-ratanya dari kalangan remaja.

“Ikhlaskan niat ust” bunyi satu suara dari belakang.

Ntah suara siapa. Yang pastinya tiada siapa pun yang mengaku bila ditanya suara siapakah itu.

“Betul, Cuma yang ustaz maksudkan ialah postur badan kita ketika itu macamana kalau kita nak pastikan lunjur kaki atau silang kaki itu mengikut cara kita beribadat” tambah saya.

MENDAHULUKAN YANG KANAN

Prioriti apabila berbuat sesuatu yang baik ialah anggota badan kita yang sebelah kanan terlebih dahulu sebelum kiri. Begitu juga apabila kita melunjur atau duduk dengan bersilang kaki. Utamakan yang sebelah kanan terlebih dahulu.

CARA KITA SOLAT

Tanpa keraguan lagi, selepas kita melafazkan takbiratul ihram, maka tangan kanan kita akan berada di atas tangan kiri.

Maka begitu jugalah apabila kita duduk atau melunjurkan kaki, maka letakkanlah kaki kanan kita di atas kaki kiri.

Comments (1) »

Sediakanlah alternatif


“ Ust, apa hukum menyambut maulid” Antara soalan yang paling acap ditanya bulan ini. Maka bermacamlah jawapan yang diberikan oleh sang ustaz kepada si penanya.

Antara jawapan yang dilihat agak menongkah arus pada hari ini khususnya kepada generasi lama ialah
“Menyambut maulid ialah bid’ah. Di zaman Nabi SAW dan para sahabat,tidak pernah anjurkan sambutan seperti ini. Ada soalan lain lagi?” Ringkas jawapan Ustaz Ali kepada si penanya.

FEQAH TANPA DA’WAH

Apabila memberikan jawapan tanpa melihat kepada situasi dan keadaan semasa setempat serta keadaan semasa umat Islam dalam Negara, maka kita khuatir akan melahirkan lebih banyak ‘hakim’ berbanding dai’e, secara tak langsung akan menjauhkan umat Islam yang baru ingin mendekati akan menjauhi.

Teringat saya kepada soalan popular pelajar-pelajar apabila dijemput memberikan ceramah atau sharing moment berkenaan cinta dan baitul muslim.

“Ust, apa hukum kita bercinta dan bercouple” Tanya seorang pelajar.

“Sejak bila bahasa meris ini wujud ye? Bentak saya di dalam hati.

Bahasa meris ialah bahasa melayu inggeris.

“Hukum asal pada yang tiada nash yang qathie ialah harus.Begitu juga dengan bercinta. Bercintalah kerana itu tanda anda manusia. Punyai hati.Punyai jiwa. Begitu juga dengan cinta muda mudi ini, BOLEH dan HARUS dengan syarat:

1- Tidak boleh keluar berdua-dua (termasuk juga bertiga-tiga dengan adik berumur 2 tahun).
2- Tidak boleh telefon dan bermesej tanpa tujuan yang syar’ie
3- Tidak boleh nak khayal-khayal, ingat-ingat, membasahkan jiwa merindui si dia, menggersangkan diri kononnya atas tiket sedang bercinta.” Jawab saya selambe sambil menantikan respon mereka.

Masih menanti.

Senyap

Kelihatannya seperti mereka sedang berfikir.

“Abis tu ust, baik tak yah bercinta kalau semua tu tak boleh” balas si penanya sambil digaru kepalanya.

Sambil dewan riuh dengan hilai tawa para hadirin.

“Hehehe….tau takpe.”

“Abis tu ust takkan takde cara lain bagi orang yang gersang macam kawan saya ni” Sambil menghalakan jari telunjuknya kepada kawannya.

Riuh sekali lagi dengan gurauan dua sahabat ini.

“ Tapi tak salah, kalau betul berkenan, jumpa terus mak ayah dia. Bincang perancangan kamu. Selepas semua setuju, berhubunglah setelah betul -betul nak kahwin nanti. Dalam tempoh itu, SETIALAH tanpa bicara”

“Tapi ust, kalau dia curang?”

“Bersyukurlah kerana dia memang seorang yang tidak setia. Anda perlukan seorang isteri yang setia bukan?”
Hmmmm……

Senyap. Sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

Moga-moga idea mendekati itu dapat diterima.

Atau lebih elok kalau jawapan saya begini?

“Bercinta dan bercouple macam muda-mudi sekarang ini, dating, chatting, keluar berjumpa, saling berSMS merupakan perkara yang tidak syari’e. Melakukan perkara seperti ini haram”

Apakah agaknya respon para hadirin yang rata-ratanya muda-mudi.

Matlamatnya jawapannya sama, cuma dengan cara yang berbeza.

Begitu juga dalam kita melayani persoalan berkenaan maulid, di samping melarang sediakanlah cadangan dan alternatif.

ALLAH DAN ALTERNATIF

Beralternatiflah, kerana itulah cara Tuhan kita.

Leave a comment »

Teringat Kata-kata Ayah..

Saya biasanya akan membeli akhbar Mingguan Malaysia iaitu pada hari Ahad. Bukannya apa.

Hanya pada hari tu pada saya lebih banyak fakta dipaparkan.

Fakta Kesihatan.
Kupasan isu-isu global.
Ada perkara berkaitan dengan teknologi.
Rencana-rencana
Sastera.

Bukannya tidak berminat membeli pada hari lain. Tapi berita di dalamnya banyak yang tidak tepat ibaratnya seperti menggambarkan gajah dengan hanya memegang pada ekornya sahaja. Walaupun sebenarnya pada hari Ahad pun sama je.

Tapi ok la juga. Ada bahan sikit.

Tapi,paparan Mingguan Malaysia pada hari Ahad lalu, 28 Febuari 2010 mengingatkan saya kepada satu hadis Nabi SAW

“Haa kalau macam tu,saya memang tak malu…jadi tak dak masalah la kalau saya nak buka aurat. Nabi pun bagi” Lagaknya buat-buat pandai memberikan argument.

Teringat kata-kata ayah sewaktu saya kecik-kecik dulu. Kan kalau kita anak-anak lelaki khususnya kat kampung,panjat pokok ini ibaratnya zikir amalan harian,jatuh menunjukan ke’macho’an.

Mak mula bising. Ayah masih tenang.

Tak serik lagi,naik lagi..jatuh lagi, luka sikit tapi biasa la kan anak lelaki.

Mak semakin membebel. Ayah mula menjeling.

Tak serik lagi, naik lagi….jatuh lagi. Ayah datang…

“Haaa!! Pi naik lagi. Pi kghabat (panjat)lagi tengok. Ayah nak tengok” sambil tangannya memegang rotan.

Apa lagi berdesup menghilangkan diri.

Buat orang yang suka membuka aurat dan mendedahkan aib orang, buatlah semahumu sebelum ‘rotan’ Allah singgah di badanmu.

Kalau berani.

Comments (3) »

Status Hadis Tentang Maulid


Soalan.

Saya ingin bertanya tentang status hadis di bawah yang menceritakan tentang kelebihan menyambut maulid:

1- Artinya: “Barangsiapa membesarkan hari kelahiranku niscaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan satu dirham untuk Maulidku maka seolah-olah ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”

2- berkata Saiyidina Abu Bakar As Siddiq radhi Allahu ‘anhu: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam Surga.”

3- berkata pula Saiyidina Utsman radhi Allahu ‘anhu: “Barang siapa mengeluarkan satu dirham untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. maka seolah-olah ia mati syahid didalam peperangan Badar dan Hunain.”

4- berkata Saiyidina Ali karamallahu wajhahu: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka ia tidak akan keluar daripada dunia melainkan keadaannya di dalam iman.”

Jawapan:

Saya tidak berhajat untuk menghuraikan berkenaan hukum menyambut maulid, ia sudah banyak diperbahaskan dan diperdebatkan dalam laman sesawang, insyaallah saya akan fokus untuk menjawab berkenaan status hadis sahaja.

Mengingati Baginda SAW sangatlah dituntut dalam agama sebagaimana firman Allah dalam Surah Aali ‘Imran ayat 31 dan disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitabnya (jilid 5 mukasurat 297 hadis bernombor 22594)

Namun, dalam keghairahan kita menceritakan tentang fadhail (kelebihan2) maulid nabi SAW ,sandaran hadis yang ingin kita ungkapkan dan sampaikan haruslah dari sumber yang sahih ataupun sekurang-kurangnya dhaif dengan dhaif yang ringan (pada perawinya bukan pada matannya).

Setakat ilmu cetek yang saya ada berikut adalah pandangan saya:

1. Telah di riwayatkan satu hadith Nabi s.a.w. seperti berikut:
Artinya: “Barangsiapa membesarkan hari kelahiranku niscaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan satu dirham untuk Maulidku maka seolah-olah ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”

Hadis di atas tidak ada asal usulnya. Ia adalah hadis yang maudhu’. Pandangan ini dikemukakan oleh bekas Mufti Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Said Alwe Tahir al-haddad (sumber).

2. Dan telah berkata Saiyidina Abu Bakar As Siddiq radhi Allahu ‘anhu: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam Surga.”

Di antara ciri-ciri hadis yang dhaif ialah bercanggah secara jelas dengan hadis-hadis yang sahih. Iman Abu Bakr adalah di kemuncak keimanan, sangat jauh jika dibandingkan dengan kita. Saya cuba mencari hadis di atas, dan di bawah ialah matan asalnya

قال ابو بكر رضي الله عنه: من أنفق درهما على قراءة مولد النبي صلى الله عليه وسلمكان رفيقي في الجنة
Saya cuba mencari status ini dalam software 1 000 kitab hadis tetapi tidak ketemui satupun hadis seperti di atas.

3. Dan telah berkata pula Saiyidina Utsman radhi Allahu ‘anhu: “Barang siapa mengeluarkan satu dirham untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. maka seolah-olah ia mati syahid didalam peperangan Badar dan Hunain.”
Beriktu adalah matan dalam bahasa Arabnya

وقال عثمان رضي الله عنه :من أنفق درهما على مولد النبي صلى الله عليه وسلمفكأن ما شهد غزوة بدر وحنين
Saya cuba mencari status ini tetapi gagal menjumpainya di mana-mana kitab atau laman web yang menjelaskan status hadis ini.Waalah a’lam, maksud hadis ini sudah memberikan gambaran yang hadis ini ialah maudhu’. Ini kerna mati syahid tiada nilaian dengan amalan2 biasa. Kedua: Ahli Badar mana mungkin akan dapat dibandingkan dengan amalan2 biasa. Ini kerana keelbihan ahli badar dirakam Allah Taala dalam surah at-taubah ayat 100.

4. Dan telah berkata Saiyidina Ali karamallahu wajhahu: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka ia tidak akan keluar daripada dunia melainkan keadaannya di dalam iman.”

Maaf, matan dalam bahasa Arabnya tidak dapat dipamerkan (tak pasti kenapa).

Status dan huraiannya sama seperti di atas.

Perlu saya tekankan di sini…perkara yang disentuh di atas BUKANLAH berkenaan boleh atau tak sambut maulid tetapi HANYALAH PENCERAHAN STATUS HADIS SAHAJA . Dikhuatirkan sekiranya kita termasuk dalam golongan membantu memanjangkan urusan pemalsuan hadis, maka sebenarnya kita menempah tempat duduk dari api neraka.

Adapun berkenaan menyambut Maulid,sambutlah selagi tidak bercanggah dengan nash yang qathie dalam syara’.

Leave a comment »