Archive for Julai 2, 2010

Berkeluarga Hingga ke Syurga

Tadi jam 10.16 minit pagi saya mendapat mesej daripada adik saya

Tadi ayah pening,jatuh kat kubuq.. Satgi nak bawa pi klinik.

Ketika itu saya masih di dalam kelas. Alhamdulillah menjadi disiplin saya di dalam kelas untuk tidak melayan sebarang panggilan telefon, apatah lagi mesej.

Namun, tadi sebaik perasan ada mesej masuk dalam peti mesej saya, terus terasa ingin membukanya. Ya, barangkali suara hati harus didengari ada juga benarnya.

Jam 11.16 satu lagi mesej masuk ke peti mesej saya. Dari bapa saudara saya, adik ayah Pak Cheng panggilan saya padanya.

Sekali lagi hati ini terasa seperti mesej ini penting…

Salam, kata ayah hang masuk hospital, wad mana? La ni (sekarang) Pak Cheng ada di Lumut kursus motivasi. TQ

Mesej adik saya tadi belum dapat saya sahkan,datang pula soalan ini…aduuuuuhhh. Mata sudah mahu menangis.

Ya Allaaaaaaaahhh..

Pengajaran pagi tadi saya tak pasti, para pelajar memahami atau tidak.

Samada mereka perasan atau tidak resah dan gelisah di hati ini.

Sebaik sahaja tamat kelas jam 12, terus sahaja pulang ke rumah mahu bersiap-siap pulang ke kampung. Namun beberapa program harus dibatalkan saat akhir.

Ditujukan permohonan maaf ini pada:

Encik Hassan Awang Boon kerana terpaksa membatalkan program bersama beliau pada hari Ahad nanti (sepanjang hari)

Adik-adik MEP kerana terpaksa membatalkan program pada Ahad malam.

Adik-adik di TAHAP, Jerantut kerana terpaksa membatalkan program pada malam ini dan besok (sepanjang hari)

Puan Masyita Abu Hassan kerana terpaksa mengingkari arahan cuti dibekukan pada hari ini dan tidak menghadiri mesyuarat penting petang ini.

Adik Nor kerana terpaksa berdikari pulang ke kampung yang sepatutnya abangmu ini yang menghantari.

Kini alhamdulillah setelah 8 jam perjalanan, kini saya di hadapan ayah.

Semoga Allah akan sentiasa memberkati dirimu ayah.
Anakmu ini belum sempat untuk membalas jasamu seperti anakmu yang lain.
Namun, yang pasti ayahku…aku mahu untuk menjadi anakmu yang soleh
Supaya engkau akan beroleh pahala di mana jua kerana kesolehanku

Akan kudidik anak-anakku
Cucu-cucumu erti menjadi hamba Allah
Agar Engkau akan beroleh pahala di mana sahaja engkau berada

Ayahku,
Aku banyak mewarisimu….
Sikapmu yang tidak suka menyusahkan orang
Sikapmu yang kurang bercakap
Sikapmu yang suka bekerja
Bukan itu sahaja ayah
Aku juga mewarisimu dari sudut fizikal
Wajah dan tubuh badanku persis sepertimu
Gigiku juga jarang sepertimu
aku juga jarang sakit sepertimu

Namun hari ini hari…sejurus aku mendapat berita ini
Air mata aku bercucuran…tidak kutahu kenapa aku begitu sensitif
Aku harapkan itulah tanda cinta dan kasihku padamu
Dalam kurang budiku padamu

Ayahku
Semoga Allah memberkati hidupmu
Tidak pernah khabar orang sakit atau kematian melainkan engkau pasti akan sampai
Tidak pernah jemputan engkau akan hampakan walaupun pernah sehari 16 jemputan perkahwinan
engkau tetap tidak sia-siakan
Dengan motor Honda itulah engkau menongkah ke utara, selatan, timur dan barat jemputan

Dari itulah ayahku..hari ini engkau di sini
Kurang dari satu jam
Wad ini penuh dengan orang yang menziarahimu
Tanpa putus-putus
Barangkali tanda keberkatanmu menuruti perintah agama

Harapanku agar aku mencontohimu
Doakan aku sepertimu ayahku
semoga Allah merahmati selamanya.
Aku mengasihimu dahulu hingga selamanya
Kita berkeluarga hingga ke syurga

Advertisements

Comments (2) »