Archive for Mei, 2008

Penghargaan Buat Yang Banyak Berkorban

” Selamat hari ulangtahun perkahwinan ye ummi” ucap saya pada isteri saya. Jam 1.35 minit pagi 27 Mei 2008. Semalam. Isnin.

Hari ini 27 Mei 2008 merupakan hari ulangtahun pertama perkahwinan saya Mohamad Ridhauddin Mohd Salleh dan isteri, Nur Arfah binti Abdul Sabian.

Pengembara Mencari Ruang Cinta Dalam RedhaNya

Semuanya sudah siap dirancang.

Saya sudah planning dalam minda saya hampir sebulan yang lalu untuk membuat kejutan buat isteri pada hari yang bersejarah buat kami ini. Bermula dari A sehingga Z, semuanya sudah siap dirancang, tetapi rupanya perancangan Allah mengatasi segalanya.

Alhamdulillah, seronok sangat. Semalam, isnin, kami diziarahi adik-adik Darul Quran dan berbuka puasa beramai-ramai, 20 orang lebih di rumah saya. Gembira kami suami isteri tidak terkata melihat suci dan mulusnya wajah adik-adik yang dada mereka tersimpan khazanah kalam Allah, yang hatinya hanya mendambakan cinta ilahi. Semoga kalian mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga dan umat Islam keseluruhannya.

” Hmmm ummi, sebenarnya baba ada nak buat suprise untuk ummi malam ni, tapi nampak gayanya tak sempat la ummi” bisik saya pada isteri saya semasa kami sedang menyiapkan makanan untuk santapan para tetamu.

” Babaa, ummi tak kisah pun. Sambutan ulangtahun bukannya apa-apa pun, bahkan nabi pun tak menganjurkan untuk buat. Taapi, nabi amat menganjurkan untuk kita mendidik adik-adik ini mengenal Allah, menganjurkan menjamu orang berpuasa dan menganjurkan bersahabat dengan mereka” jawab isteri saya, lembut sahaja. Terasa sejuk dada mendengar ucapan tulus dari seorang isteri yang solehah.

” Aah, ummi dah tahu ke suprise tu?” bisik hati saya. Persoalan itu saya biarkan berlalu dalam kesibukan meraikan tetamu. Itulah wanita, amat mengingati hari-hari yang bermakna dalam hidupnya. Tidak seperti ramai lelaki. Termasuk saya. Saat-saat kami berlalu dengan masing-masing kepenatan menyediakan makan dan mengemas rumah.

” Selamat hari ulangtahun perkahwinan ye ummi” ucap saya pada isteri saya. Jam 1.35 minit pagi 27 Mei 2008. Semalam. Isnin.

Itu sahaja yang yang sempat saya ungkapkan buat isteri yang tercinta ini, sebelum mata ini terlelap tanpa sedar. Namun pesananmu duhai isteri, akan kekal tersemat di hati.

Hari Ini, Ulangtahun perkahwinan

Juga hari ini saya tidak mampu untuk menjadikan hari ulangtahun perkahwinan kami bermakna buat isteri saya. Malam ini ada kuliah khas untuk menyelesaikan beberapa isu yang penting yang menyelubungi masyarakat. Kumpulan itu mengkafirkan kumpulan ini, orang itu membid’ahkan orang ini dan pelbagai lagi. Sedih melihat situasi ini berlaku dikalangan umat Islam. Selepas Isya’ pula, ada mesyuarat yang tidak mampu untuk dielakkan.

“Ya Allah, aku tidak mampu untuk memberikan apa-apa harta dunia mahupun memperuntukan waktu yang panjang buat isteriku ini. Ingin sekali untuk aku memberikannya sesuatu, namun apakan dayaku. Kudratku hanya satu. Kewajipanku beribu. Ya Allah, aku mohon padaMu dengan sesungguh-sungguhnya, engkau peliharalah isteri aku, engkau jadikan dia calon kekasihMu di dunia ini dan akhirat nanti, Engkau berikanlah dia harta akhirat untuknya. Engkau bahagiakanlah dia ya Allah. Engkaulah Maha Pemilik segalanya” rintih seorang pengembara yang lemah daya upayanya. Itulah saya.

Hanya bingkisan inilah yang saya saya mampu coretkan untuk kekasih, isteri, penasihat dan sahabat saya. Bingkisan ini hanya untuk menghargai orang yang banyak berkorban untuk saya.

Ridha (ridharster@gmail.com)

Comments (5) »

Kerana Seorang Ustaz

” Di mana ada ustaz, di situlah ada masalah”

Kenyataan di atas semacam kasar bunyinya.

Saya membaca kenyataan di atas dengan dua cara bacaan. Pertama tugasan seorang ustaz ialah menyelesaikan masalah yang menyelebungi masyarakat. Semua permasalahan berkaitan dengan hukum hakam agama akan dirujuk kepada mereka.

Pemahaman kedua saya ialah ustazlah punca perbalahan dan persengketaan yang berlaku dalam masyarakat. Dari masyarakat yang tenang setenang air mengalir kepada masyarakat bercambah kekeliruan mereka terhadap Islam.

Ustaz Sebagai Sumber Penenang Masyarakat

” Ustaz, tolonglah kami. Kawan bilik kami ini macam kena rasuk je. Sekejap dia meracau, sekejap dia menangis, sekejap dia ketawa. Tolong la ustaz.” rayu seorang pelajar kepada saya, bunyinya macam baru lepas menangis.

” Sekejap ye. Ustaz masih dalam perjalanan ni” jawab saya. Kemudian saya meletak telefon. Saya melihat jam di tangan. Jarum pendeknya berada di garisan dua, dan jarum panjangnya berada pada nombor 10.

” Adus,dah hampir pukul dua ni” getus hati saya. Mata ini mengantuknya semacam dah digam, nasib baik bukan dengan gam gajah,gam 20sen tu je. Boleh la buka mata lagi.

“Insyaallah, aku akan pergi juga” azam hati saya walaupun mengantuknya bukan main. Hadith nabi yang berpesan dengan mengatakan bahawa sesungguhnya pertolongan allah akan sentiasa bersama kita selagi kita bertolong bantu rakan kita.

Sesampai sahaja saya di tempat kejadian, jam menunjukan pukul 2.30 pagi. Melihat keadaan pesakit meremang bulu roma saya, hilang mengantuk saya, lemah kaki saya melihat keadaan yang sebegitu. Saya pasti, orang di sekeliling saya tidak tahu keadaan saya ketika itu. Kalau diikut hati, nak je saya lari. Hehehehe

Kenapa?

Kerana saya bukan bomoh, saya juga tidak pandai tentang perubatan Islam…..tapi saya seorang USTAZ. Kerana ustazlah saya dipanggil.

Apa-apa ayat yang datang di minda saya, semuanya alhamdulillah keluar. Kerana saya seorang ustaz. Sebelum saya masuk berubat, pesakit tidak menutup aurat, saya minta rakan-rakannya tutupkan auratnya kerana saya seorang ustaz.

Realiti sesetengah masyarakat masih lagi menghormati seorang yang bernama ustaz. Padanyalah mereka menjadi tempat rujukan masyarakat.

Ada Apa Dengan Ustaz

Semalam saya melihat salah satu laman web yang agak liberal penulisannya, memberikan pandangan berkenaan ustaz dan ustazah.

” Kepada orang yang bergelar ustaz dan ustazah, janganlah sesuka hati mengharamkan sesuatu produk atau barang. You bukan saintis, you bukan researcher, you duduk di masjid sudah la. Jangan pandai-pandai buat hukuman”

Tersenyum saya dalam kegusaran membaca kenyataan seperti itu.

” Hmm aku kena gandakan lagi usaha aku untuk memperbetulkan pemahaman masyarakat tentang isu ini. Ya Allah, engkau berikanlah keberkatan pada ilmuku, masaku dan hidupku untuk aku dapat berbuat sesuatu untuk agamamu.ameen” Doa saya.

Saya tahu kesibukan yang saya hadapi sekarang ini kalau nak dihitung dengan ni’mat yang Dia bagi, belum pun sampai 0.1%. Ya Allah, Engkau bantulah aku.

Hmm….pelik bukan dunia sekarang ini, apabila seorang engineer nak interfere urusan management syarikat, semua orang akan sependapat bahawasanya urusan pengurusan syarikat bukan kepakaran jurutera. Tak perlu masuk campur.

” Kalau dah tahu bukan bidang, tak payah la nak masuk campur urusan pengurusan syarikat” suara pengarah tempat amir, seorang jurutera semakin meninggi.

Seorang kerani syarikat tidak wajar untuk mengganggu urusan akauntan kerana ia bukan bidangnya. Seorang yang specialize dalam bidang undang-undang tidak wajar untuk masuk campur urusan teknikal bagaimana untuk design sebuah kereta baru. Rasanya semua orang akan bersetuju bukan. Setiap orang akan berperanan dalam bidang masing-masing.

Tapi apabila seorang ustaz memberikan pandangan, ramai sahaja yang ingin membangkang, dan itu semakin menular di kalangan orang yang terlalu ingin liberal dalam beragama. Ustaz tak tahu apa-apalah, bukan bidang la dan sebagainya

” Kalau tuan tanya saya, saya mengatakan STARBUCKS haram dengan dalil-dalil yang telah saya berikan dahulu” (sila lihat http://ridhauddin.wordpress.com/2008/04/)

” Ewah ewah sedap-sedap je ustaz kata haram. Apa dalil ustaz. JAKIM dah sahkan yang semua produk dia takde unsur-unsur babi” satu cetusan pandangan masuk ke kotak mesej saya.

Ustaz Pencetus Masalah?

” Sebenarnya siapa yang lebih bersetuju dengan pandangan JAKIM itu, dipersilakan untuk mengamalkan dengannya, siapa yang sependapat dengan saya, maka ia terserah padanya. Tetapi yang pasti, saya dan orang yang mengeluarkan ‘fatwa’ dari JAKIM itu akan berada dalam kandang Allah nanti, dan Allah pasti tanya kami.” Jawab saya di dalam hati.

Ustaz, kami keliru la. Tanya ustaz ni dia kata, wajib bagi orang yang solat untuk meletakkan sutrah ( meletakkan sesuatu di hadapan kita untuk menghalang orang lalu dihadapan kita semasa kita solat). Selepas itu, ustaz ni pula kata tak wajib. Aduss, pening-pening. Saya nak ikut yang mana satu ni ustaz. Kata rujukan al-Quran dan sunnah, tapi kenapa ada banyak sangat perbezaan pandangan” Tanya salah seorang ahli jemaah masjid di Gombak.

Cuba kita tengok dalam sistem perundangan di Malaysia, kita ada perlembagaan, akta-akta, common law, dan lain-lain. Untuk kes yang berkaitan dengan tanah, peguam dan hakim akan menggunakan undang-undang tanah (Land Law) sebagai sumber rujukan. Tapi kenapa mesti ada peguambela dan pendakwaraya ye?Kalau undang-undang yang digunakan itu satu sahaja, kenapa mesti ada peguambela dan pendakwaraya. Sepatutnya hanya ada peguambela sahaja kerana undang-undangnya satu je.

Sebenarnya,mereka berbeza dari segi pemahaman terhadap sumber undang-undang dan situasi anak guam yang mereka wakili. Begitu juga dalam Islam. Sesetengah ustaz mempunyai mempunyai pemahaman yang berbeza dalam dalil ini,maka beliau akan memebrikan pandangan dengan ustaz yang lain.Ini sebenarnya merupakan rahmat bagi orang awam. Pilihnya mana-mana hukum yang baginya lebih kuat untuk diamalkan dalam kehidupan sehariannya.

izzah

Yang pastinya ia tidak ada kaitan dengan Nurul ‘Izzah binti Anwar.Hehehe

Apabila semua orang ingin mengeluarkan hukum, semua orang ingin mengeluarkan fatwa, tanpa mempunyai prasyarat yang sepatutnya untuk mengeluarkan hukum,maka hilanglah nilai hukum dalam agama. Dan inilah situasi yang akan meresahkan masyarakat, bukan menenangkan mereka.

Apabila semua orang ingin dipanggil ustaz tanpa mempunyai nilai agama dan tidak beramal dengan ilmunya, hilanglah nilai mutiara seorang ustaz.

Apabila seorang ustaz yang tinggi taqarrub (hubungannya) dengan Allah tanpa mempunyai sandaran quran dan sunnah dalam amalannya, hilanglah ganjarannya amalan seorang ustaz.

Seorang ustaz ialah apabila Allah menjadi matlamatnya, Islam boleh dilihat dalam dirinya, setiap gerak gerinya bersandarkan kepada al-Quran dan Sunnah. Semoga kita salah seorang daripadanya.

Kepada semua masyakat, izinkanlah kami berperanan kerana kami seorang ustaz.

® Ridha (ridharster@gmail.com)

Comments (5) »

Welcome Home

” Assalamualaikum ustaz”

Satu panggilan telefon memecah kesunyian malam saya.

” Waalaikumusalam warahmatullah” jawab saya perlahan. ” Boleh saya bantu?”

” Ustaz, saya ada sedikit kemusykilan ni. Hari tu saya baca quran surah al-Baqarah. Sambil-sambil saya baca tu, saya tengok la makna. Tapi ada satu ayat yang saya musykil iaitu ayat 30 dan ayat 35. Allah kata Allah nak ciptakan manusia untuk dijadikan khalifah atas muka bumi, tapi kenapa dalam ayat 35 tu Allah letakkan dalam syurga?” tanya seorang pelajar selepas memperkenalkan dirinya.

AYAT YANG PENUH HIKMAT

Berikut merupakan ayat yang ditanya oleh pelajar tersebut

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi….” ayat 30

manakala ayat 35 pula berbunyi

“Dan kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam Syurga dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai….”

Sebebenarnya ayat tersebut panjang, cuma cukuplah saya ambil ayat yang menjadi pokok perbincangan kita.

PENGAKUAN MENYEDARI DIRI

Hakikat kita seorang hamba tidak akan mampu untuk memahami apa yang sebenarnya dikehendaki oleh Allah Ta’ala melainkan apa yang Allah ta’ala sebutkan di dalam quran secara jelas dan apa yang ‘demonstrator’ Allah iaitu Nabi Muhammad SAW terangkan secara jelas.Yang kita mampu hanya berusaha semampu mungkin untuk memahami apa yang cuba dimaksudkan Allah ta’ala. Hakikat kebenaran yang sebenar hanya Allah sahajalah yang tahu kerana Dia Maha Mengetahui.

Allah sudahpun bagi peringatan kepada kita

” Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” al-Isra’ 85.

Menyedari kelemahan diri,dipuji ilahi.

HIKMAH

Dalam mentafsirkan ayat Allah ini ada disiplinnya yang tersendiri, ada kaedah pentafsiran yang khusus, tidak boleh tafsirkan al-quran mengikut pandangan peribadi. Dikeji Allah.

Namun wallah a’lam, di sana tersembunyi beberapa perkara yang tersirat dalam ayat tersebut.Allah tidak menciptakan sesuatu sia-sia, tanpa sebab. Begitu jugalah dalam proses penciptaan Adam dan Hawa. Allah meletakkan Nabi Allah Adam di dalam syurga supaya anak cucu Adam akan mengetahui APAKAH MATLAMAT KEHIDUPAN MEREKA.

Allah bertanya kepada roh, siapakah aku, maka semua roh mengakui bahawasanya Allah adalah Tuhan kita. Dan roh kita ketika itu berada di syurga. Itulah RUMAH KITA yang sebenar. Dan semua kita tahu,roh bukanlah urusan kita, itu adalah urusan Allah, apakah roh ada tubuh badan, telinga, tangan dan sebagainya, tiada siapa yang tahu.

Journey Begins.

Dahulu kita berkongsi ‘rumah’ dengan roh-roh yang lain, kemudian kita ingin berpindah menuju ‘rumah’ kita sendiri,pastinya semua orang inginkan privacy bukan. Untuk dapat result SPM yang gempak, kita perlu struggle, untuk mendapat kenaikkan pangkat dengan cepat, kita juga perlu struggle, jadi untuk dapatkan rumah yang khusus untuk kita, jua perlu struggle. Then, the journey begins.

Bermula dari alam roh kita singgah sebentar di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) perut ibu (PR). Barangsiapa yang pernah melalui highway pasti tahu, R&R hanyalah tempat untuk berehat, ataupun menunaikan urusan-urusan yang berbentuk temporary. Begitu juga kita di dalam perut ibu. Kita berhenti di R&R PR 9 bulan 10 hari sahaja. Tidak lama.

Kemudian kita meneruskan perjalanan dan seterusnya sampai di tempat tujuan. BUMI. Manusia yang normal apabila pergi ke sebuah negara yang asing, pastinya memerlukan peta, pemandu pelancong, sedikit buku undang-undang tentang negara itu. Dari itu, bagaimana dengan kita yang baru sahaja menjejakkan kaki ke bumi, tanpa sebarang peta, buku undang-undang, pemandu pelancong.

“Aduuh, kenapa Allah tidak sediakan semua bekalan itu” itu keluh kita barangkali, bagi yang belum mengerti.

Bekalan

Hakikatnya Allah sudah sediakan semua keperluan kita. Bagi yang mengerti. Allah sediakan buku panduan menceritakan apa tugasan yang patut dibuat, bagaimana nak makan dalam negara yang asing yang bernama bumi ini, bagaimana nak berpakaian, bersosial, berekonomi, bersukan, bermesyuarat dan sebagainya sudah Allah sediakan dalam manual bernama AL-QURAN.

‘Pemandu pelancongnya’? Saya mungkin boleh baca sendiri tapi mungkin sahaja salah faham ke tersesat ke. Hmm… tidak cukupkah nabi Muhammad sebagai petunjuk. Baginda sudah clarify semua yang samar-samar dalam al-Quran. Tak cukup dengan itu, baginda sendiri sudah tunjukkan demonstrasi bagaimana nak menguruskan diri dalam bumi ini. Cuba cek, semua sudah tersedia ada dalam manual bernama HADITH yang disediakan.Kalau tak jelas lagi, ulama’-ulama’ kan ada lagi. Cari mereka. Mereka pasti membantu.

Berlagak Sombong.

” Maaf la, saya tahu la apa yang saya nak buat. Ikut suka saya la. Dalam Islam ni itu tak boleh, ini tak boleh, adusss, susah betul”

Al-Quran datang ini sebagai manual dan peta untuk sampai ke rumah kita dengan selamat. Di lapangan kapal terbang, bagi setiap destinasi ada lorong departure yang tersendiri. Untuk yang nak berlepas ke Hong Kong, ada balai berlepasnya, untuk nak ke Jeddah ada balai berlepasnya yang tersendiri, untuk ke Afrika Selatan pun ada balai berlepasnya sendiri, bahkan kapal terbang pun berbeza-beza. Barangsiapa yang tersalah masuk lorong, pasti tidak akan sampai ke destinasi. Ataupun dia tidak tahu jalan tapi lagaknya seperti tahu kesemuanya, kebarangkalian untuk tersilap jalan pulang adalah tinggi.

Begitu juga dengan al-Quran, al-Quran datang untuk menceritakan jalan pulang. Dari itu ikutilah instruction itu. Pasti sampai ke destinasi.

Selesai membuat tugasan di bumi, kita pun ingin pulang, lalu kita singgah sebentar di R&R Kubur. Sekejap sahaja kita berhenti di R&R itu. Kemudian kita akan dihakimi oleh Allah Ta’ala dalam mahkamah Dia, apakah kita betul-betul mengikuti intruction yang Allah Ta’ala bagi atau tidak. Kalau salah ikut intruction , maka kita akan tersesat ke neraka, kalau menepati intruction kita akan selamat sampai ke rumah kita di syurga. Ameen

Welcome Home!!!!

® Ridha (ridharster@gmail.com)

Leave a comment »

Selamat Hari-Hari Ibu

Ibu (2x)

Engkaulah ratu hatiku

Bila ku berduka

Engkau hiburkan selalu

Ibu (2x)

Engkaulah ratu hatiku.

Itu adalah senikata lagu yang satu ketika dulu menjadi siulan sesetengah ibu bahkan sesetengah bapa dan segelintir anak-anak. Punyai makna yang mendalam, walaupun tujuannya untuk promosi susu Dumex (kalau tak salah ingatan saya) tetapi ia mempunyai mesej yang amat positif. Semoga ia memberikan kesan kepada setiap insan bernama anak.

Selamat Hari-Hari Ibu

Sya tidak pasti adakah perkataan tersebut menepati ciri-ciri tatabahasa Bahasa Melayu yang tepat atau tidak. Saya cuma mahu mengelak dari mengkhususkan hari ibu pada hari-hari tertentu sahaja untuk kedua ibu saya, Zapiah binti Jasin dan Ngatini binti Haji Sobari. Saya percaya semua orang yakin dan percaya bahawasanya kita perlu menyayangi ibu kita setiap hari. Tetapi kita mungkin tersilap percaturan dan perancangan, apabila kita hanya menjadikan Hari Ibu sahaja sebagai hari yang istimewa.

Jangan Masuk Longkang

Rasanya kita semua tahu, Hari Ibu merupakan ‘ciptaan barat’. Mereka menciptanya sebagai alternatif untuk menjadikan insan bernama ibu dihargai sekurang-kurangnya sehari, berbeza dengan hari-hari yang lain . Institusi rumahtangga di barat bukan menjadi keutamaan mereka, mereka bebas untuk ‘bersama’ sebelum berkahwin, berkahwin sesama jantina atas nama kebebasan, berkahwin bermatlamatkan harta, penghormatan kepada ibu bapa yang berbentuk optional not a must. Mereka akan pulang ke rumah ibu bapa mereka hanya beberpa kali dalam setahun untuk meraikan perayaan tertentu seperti Krismas, Mother’s Day, Father’s Day dan sebagainya. Waktu itulah mereka akan melayan ibu bapa mereka sebaiknya, memberikan hadiah, pergi melancong dan mendengar luahan mereka.

Hakikanya,Itu adalah jalan menuju kebinasaan dalam institusi keluarga.

Kenapa harus mencari longkang di kala jalan lurus luas terbentang. Islam tidak pernah mengajar untuk meletakkan hari khusus untuk meraikan kemuliaan dan menghargai pengorbanan ibu, bahkan Islam meletakkan ketaatan, penghormatan dan kasih sayang pada seorang insan bernama ibu adalah sepanjang hayat. Seorang anak samada lelaki ataupun wanita selagi belum berkahwin ketaatannya pada ibunya melebihi ayahnya, tetapi apabila sudah berkahwin, wanita wajib mentaati suaminya tetapi suaminya masih wajib mentaati kedua-dua ibunya.

Seorang anak wajib mentaati ibunya, ibunya wajib mentaati suaminya, suaminya wajib mentaati ibunya, begitulah seterusnya. Adilnya Islam.

Selamat Hari Ibu Zaman Millenium

Ketika artikel ini ditulis, saya cuba untuk membuat ‘survey’ rambang (bukan secara akademik) rancangan TV dalam negara kita semasa meraikan hari ibu. ‘Survey’ yang saya jalankan pada jam 9.52 malam tadi mendapati rancangan TV kita penuh dengan hiburan.

TV 1 : Nyanyian (tak pasti nama program, tapi nampaknya macam ala-ala AF)

TV 2 : Janji Diana

TV 3 : Konsert Gangstarz

TV 8 : Cerita Cina (tak tahu nama program)

NTV 7 : Anugerah Industri MUzik (AIM 15)

Hmmm sukarnya untuk memaknakan hari ibu. Sukarnya menyediakan rancangan yang betul-betul bersesuaian dengan hai ibu.

Memaknakan Selamat Hari-Hari Ibu

Terima kasih kepada ibu saya, Hajjah Zapiah binti Jasin kerana melahirkan saya, memelihara saya, mendidik saya makna Islam. Masih segar dalam ingatan semasa saya dalam tempoh membesar

” Mohammad, mai sini mengaji cepat” Jerit ibu saya dari arah dapur ketika mendengar bunyi tapak kaki saya menjejak lantai kayu rumah selepas pulang dari masjid.

” Sat na (sekejap ye)” balas saya ringkas. Itu ayat nak melarikan diri sebenarnya hehe.

” Haaa lambat satni (nanti) mak pi panggil ngan ghotan (rotan)” ibu saya memberikan peringatan.

Hmmm Terima kasih ibu.Hari ini anakmu ini sedang berbakti kepada masyarakat hasil didikanmu.

Kepada ibu kedua saya, Ngatini bin haji Sobari, terima kasih kerana mendidik isteri saya dengan didikan yang sempurna. Ketika saya secara rasmi menjadi menantunya, ibu saya ini membisikkan ke telinga saya

” Mak sudah mendidik sesempurna mak mampu anak mak ni, sekarang mak serahkan tanggungjawab ini pada Mad (panggilan saya di sebelah mertua). Didiklah dia ye”

” Insyaallah mak” balas saya ringkas.

Buatmu ibu, diucapkan SELAMAT HARI-HARI IBU yang tiada perhujungnya.Setiap hari bagi kami adalah hari ibu.Kami amat menyayangimu ibu. Dikaulah ibu kami hingga ke syurga.

® Ridha (ridharster@gmail.com)

Comments (1) »

Malang Dirimu Duhai Masjid

Hari ini saya alhamdulillah program tidak terlalu padat sebagaimana minggu lepas. Siang hari ini saya

mengambil peluang sebaiknya untuk ”memanjakan’ diri, mengemas rumah dan membuat beberapa

persiapan yang lain. Petang ini insyaallah saya akan ke pejabat untuk membuat persiapan ceramah pada

malam ini.Ceramah di Bangi.

Ketika sedang ‘memanjakan’ diri sambil membaca suratkhabar KOSMO, tidak banyak tajuk yang

menarik perhatian saya. Semuanya tentang masalah masyarakat, ia adalah penting untuk ditangani dengan

seberapa segera mungkin, tapi entah kenapa ia langsung tidak menarik perhatian saya. Helaian demi helaian

saya buka,mata saya kemudiannya terpaku kepada satu tajuk “Binan Terindah Abad Ini”. Masjid

Sheikh Zayed.

Inilah faktanya :

- Masjid ketiga terbesar di dunia(selepas Masjid Haram dan Masjid Nabawi).

- 30 000 orang tenaga pekerja.

- Keluasan 22 000 kaki persegi.

- Ketinggian Menara 107 meter

- 82 kubah (diimpot keseluruhannya dari Itali)

- 96 dewan (di dalam)

- 1048 dewan (di luar)

- Permaidani seluas 6 000 meter persegi (dengan 1200 tenaga pekerja wanita).

- Harga permaidani RM 27.6 JUTA!!!!

- Tujuh candelier terbesar dunia.

– Mampu memuatkan 40 000 Jemaah dalam satu masa.

Kos keseluruhannya ialah 1.75 BILION!!!!

Artikel itu antara lain berbunyi :

” Bagi pemerintah Abu Dhabi, mereka berusaha untuk menjadikan masjid sebagai salah satu lagi DAYA

TARIKAN PELANCONGselain keindahan pantai dan pusat membeli belah”

” Masjid itu dibina di atas bukit SUPAYA IA BOLEH DILIHAT DARI JAUH dalam kawasan seluas

22 000 kaki persegi”

” Bermula Disember lalu, Masjid Sheikh Zayed secara rasminya menerima kunjungan ramai pelawat bukan

islam yang begitu berminat dan teruja MELIHAT KEINDAHAN YANG TERDAPAT PADA

MASJID INI.”

“Keindahan yang dipamerkan menerusi senibina agung terbaru itu turut dilengkapi dengan PERMAIDANI

PARSI YANG DIKATAKAN PALING BESAR DI DUNIA SEKALIGUS MAMPU

MENCETUSKAN RASA KAGUM KEPADA MEREKA YANG MELIHATNYA”

NASIBMU YANG MALANG

Begitulah nasib bangunan yang kita namakan sebagai RUMAH ALLAH atau MASJID. Hari ini

alhamdulillah, banyak negara umat islam dianugerahkan oleh Allah Ta’ala dengan kekayaan ataupun

hasil mahsul yang banyak. Bahkan ramai umat Islam hari ini sudah mempunyai kepakaran-kepakaran dalam

pembinaan bangunan, hiasan dalaman dan sebagainya.

Namun, tidak pasti apakah ia dimanfaatkan untuk kemaslahatan masjid atau untuk kemaslahatan pelancong.

Tujuan asal masjid yang bertujuan untuk ‘berjumpa’ atau ‘berdating’ dengan Allah semakin

pudar dan lari daripada tujuannya yang asal. Masjid didirikan untuk bersolat, belajar ilmu agama ataupun

ilmu sunnatullah dan pelbagai lagi. Namun sekiranya didirikan masjid untuk tujuan pelancongan, ia

merupakan satu lagi koleksi malapetaka umat islam hari ini.Saya bukanlah golongan anti establishment

yang tidak bersetuju dengan binaan masjid yang mewah dan mahal ini, tetapi tujuan asal masjid itu yang

membuatkan saya keliru.Apakah tujuan pembinaan yang mewah itu.Sekiranya memang bertujuan

untuk diimarahkan oleh masyarakat, kenapa dibina di atas bukit dan kenapa semua binaan ini

ditekankan seolah-olah hanya untuk tujuan pelancongan.

CADANGAN

Saya juga sama sekali tidak setuju untuk masjid ini dirobohkan walau apa pun alasannya,walaupun tujuan

asalnya (seperti yang ditulis) bukan untuk diimarahkan tetapi untuk

pelancongan atau pembinaannya yang membazir saya tidak bersetuju untuk

dirobohkan. Tetapi saya berpandangan kerajaan yang bertanggungjawab

haruslah mencari jalan bagaimana untuk mengimarahkan masjid ini. Samada

membina penempatan di sekitar masjid atau digiatkan aktiviti keilmuan di

sini, pihak kerajaan Abu Dhabi lebih memahami.

Duhai masjid, malang nasibmu, di kala Islam terasing dirimu berdiri gah, tapi di kala Islam gah dirimu

terasing.

® Ridha (ridharster@gmail.com)

Comments (1) »

PILIHAN ANTARA DUA PERJALANAN

30 Jan 2008 Rabu,Ustaz Ishak Baharom pergi menemui ilahi, terkesan hingga kini.

30 Jan 2008 Rabu, Rosli Khamis (Loloq) juga meniggalkan dunia yang fana ini.

1 Mei 2008 Khamis,Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin baru sahaja meninggal pergi.

Tahun ini kita dikejutkan dengan pemergian ramai tokoh-tokoh yang terkenal pergi menemui ilahi. Ustaz Ishak Baharom, seorang tokoh agama di Malaysia, Loloq seorang komposer dan penulis lirik yang amat terkenal dalam bidang nyanyian di Malaysia, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin, seorang tokoh ahli korporat yang membantu menaikkan nama negara dipersada dunia, tokoh dalam dunia automotif.

PENGAJARAN YANG DATANG JANGAN DISIAKAN

Semua kejadian ini memberikan satu pengajaran yang amat berharga buat seorang insan. Sekiranya kita seorang agamawan, memahami dalil-dalil agama, banyak beribadah kepada Allah, kematian tetap akan datang dengan cara yang amat sesuai dengan kita.

Sekiranya kita seorang hartawan, duit berjuta bahkan berbilion di dalam bank, aset peribadi berada di setiap negara, anak-anak syarikat semua memberikan keuntungan, kalaulah digadaikan semua harta tersebut belum mampu membeli ‘sebuah nyawa’ yang sangat kita ingin supaya dipanjangkan.

Yang pasti, siapapun kita, kain kapan yang berharga Rm20, yang berlapis 5 atau 7 itulah yang akan menjadi selimut kita untuk menemani kita di alam kubur nanti. Tidak disediakan bagi kita kain sutera yang paling mahal harganya.

Harta peninggalan?

Biarlah orang di dunia yang menikmatinya, tempoh untuk kita menikmati semua kesenangan sementara dunia sudah tamat. Bekalan kita hanyalah anak yang soleh yang mendoakan kita (kalau dia doakan), harta yang disedekahkan dan ilmu yang bermanfaat. Itu kalau ada, kalau tiada bekalan itu, ‘berlaparlah’ kita di dunia baru kita

KE MANA ROH PERGI

Apabila seorang bayi lahir ke dunia, maka terputuslah hubungan bayi tersebut dengan tali pusat ibu, tidak perlu lagi tali pusat ibu sebagai sumber makanan dan minuman. Adakah ini bermakna bayi itu akan mati? Tidak sama sekali. Dia akan hidup dalam dunia yang baru, dengan cara pemakanan yang baru, diberi susu dan disuap makanan ke mulutnya.

Apabila kita hanya melihat apabila seseorang itu meninggal dunia, sangkaan kita terputuslah ‘saraan hidup si mati’, dia akan hilang dari dunia ini. Tiada apa lgi yang akan berlaku. Tetapi sebenarnya itu merupakan permulaan baru hidup akhiratnya. Dia akan ada cara saraan hidup yang baru yang sesuai dengan dunia barunya.

ROH ORANG MUKMIN

Apabila seseorang itu sudah nazak, maka turunlah malaikat dengan wajah yang penuh berseri dengan membawa  wangian (daripada syurga) dan juga kain kapan (untuk dikapankan nyawa si mati). Kemudian malaikat itu menunggu dari jauh menanti malaikat pencabut nyawa  menunaikan tanggungjawabnya.  Kata malaikat  pencabut nyawa ” Wahai jiwa yang  suci, keluarlah kamu menuju  kepada keampunan Allah dan keredhaanNya”.

Selepas dicabut nyawanya, malaikat yang menunggu tadi terus mengkafankan roh si mati tadi dengan kain kapan dari syurga dan mewangikannya dengan wangian dari syurga. Terserlahlah kemudiannya kewangian yang tidak pernah ada di muka bumi ini. Kemudia roh ini dibawa naik ke langit. maka di setiap lapisan langit, malaikat penjaga langit tersebut akan bertanya roh siapakah ini. Semua para malaikat penjaga langit akan bertanya dengan soalan yang sama. Malaikat pembawa roh tadi akan menyebut nama kita yang paling baik yang pernah disebut di atas muka bumi.  Di setiap lapisan langit, roh itu akan disambut seolah-olah seorang raja  datang melawat kawasan. Dikerumi oleh para malaikat yang menghuni di setiap level langit. Begitulah seterusnya. Sehinggalah berjumpa dengan Allah. Kata Allah ” Tulislah amalan hamba aku ini dalam buku ‘illiyyin, kembalikannya  ke bumi kerana dari situlah dia datang, kepada tanahlah dia akan kembali.

Rohnya kemudian dikembalikan ke jasadnya (di dalam kubur), lalu datanglah dua malaikat bertanya siapakah Tuhanmu, apakah agama kamu, siapakah lelaki yang diutuskan kepada kamu. Semua dijawab dengan tenang. Lalu kedegaranlah satu suara ” Benar perkataan hambaku ini, bentangkan kepadanya syurga, pakaikan dia dengan pakaian syurga, bukakan kepadanya pintu menuju ke syurga, maka si mati tadi akan dapat menghidu bau haruman syurga yang semerbak itu.Dengan penuh ketenangan. Di dalam kubur.

Kemudian, dia didatangi seorang lelaki yang sangat putih pakainnya, sangat bersih wajahnya sangat wangi baunya, lalu si mati bertanya ” Siapakah engkau?” Lalu di jawab lelaki itu, akulah amalanmu yang soleh. “

ROH ORANG YANG KUFUR KEPADA ALLAH

Apabila seseorang itu sedang nazak, datang malaikat dengan wajah yang bengis, hitam wajahnya dan bersama-sama dengannya kain kapan yang kasar (dan busuk baunya). Lalu dia akan menunggu sehingga malaikat maut menyentap nyawa orang itu. kata malaikat maut ” Wahai jiwa yang busuk! Keluarlah kamu! Pergilah menuju kemurkaan Allaaaah!! Dengan suara yang memekik. Dipisahkan roh dan jasad si mati dengan cara yang amat menghinakan dan menyakitkan.

Kemudian rohnya dibawa ke langit, tanya malaikat di langit pertama ” Roh busuk siapakah ini” pekiknya dengan wajah yang bengis. Lalu kata malaikat yang membawa roh itu ” si fulan bin si fulan” dengan nama yang paling buruk yang pernah dipanggil kepadanya di atas muka bumi, lalu diminta dibukakan pintu langit pertama, tetapi tidak dibukakan untuknya. Kemudian ‘dilemparkan’ roh ke jasadnya kembali( di dalam kubur). lalu datang dua malaikat bertanya, siapakah Tuhanmu, apakah agama kamu, siapakah lelaki yang diutuskan kepada kamu. Semua tidak mampu dijawab oleh si mati di dalam kubur itu.

Dia telah berbohong, hamparkan kepadanya neraka, pakaikan dia dengan pakaian neraka, bukakan kepadanya pintu menuju ke neraka, maka si mati yang hina tadi akan dapat merasai kepanasan api neraka yang sangat menyesakkan jiwanya dan menghidu bau busuk neraka yang sangat ketara. Kemudian, dadanya dihimpit sehingga berselisih antara tulang rusuknya.

“Aaaaarrrgghhh” tentu sakit. Kalau jari kita terguris sedikit pun meraung, inikan tulang rusuk kita saling berselisih.

Kemudian, dia didatangi seorang lelaki yang sangat buruk pakainnya, sangat hodoh wajahnya sangat busuk baunya, lalu si mati bertanya ” Siapakah engkau?” Lalu di jawab lelaki itu, akulah amalanmu yang keji. “

Ini bukan cerita dongeng, bukan rekaan saya kerana saya pun akan lalui perkara yang sama, tetapi isi asalnya merupakan pengkisahan dari Nabi Muhammad SAW yang diceritakan oleh Barra’ bin ‘Azib. hadith ini disahihkan oleh Ahmad bin Hanbal, Ibn Hibban dan Abu ‘Uwanah al-Isfirayini. Barangsiapa yang berminat untuk tahu tentang syurga boleh membeli buku ” Temasya ke Syurga” yang diterjemahkan dari buku asal (Haadil arwah ila Bilaadil Arfah) karangan Ibn Qayyim al-Jauziyyah.

PILIHlLAH ANTARA DUA

Kita akan melalui salah satu ini sahaja. Samada roh orang mukmin atau roh orang kafir. Yang mana pilihan kita. Buatlah sesuatu.

® Ridha (ridharster@gmail.com)


Comments (4) »

Sunnah Pejuang

” Sudah sunnah orang berjuang

Mengembara dan berkelana,

Miskin dan papa jadi tradisi

Berenggang dengan anak dan isteri.

Tidak kurang yang sayang padanya

Orang lain mati dilupa

Para pejuang tetap dikenang

Sejarahnya ditulis orang

Makamnya sentiasa diziarahi

Walau perjuangan tak berjaya,.

Orang lain membuat harta

Tapi dia membuangnya

Orang lain kawan terbatas

Tapi pejuang kawan merata

Orang lain musuhnya kurang

Pejuang musuh tidak terbilang.”

Itulah separuh daripada senikata lagu “Sunnah Berjuang” yang saya nyanyikan semasa memandu pada hari Sabtu dan Ahad yang lepas. Lagu yang popular semasa al-Arqam gah dahulu. Bukan kerana al-Arqam saya menyanyi tapi mungkin kerana senikata lagunya memberi makna.Juga bukan untuk masuk Malayisan Idol saya menyanyi, kalau masuk pun,confirm kena reject awal-awal lagi.Saya juga takde keinginan untuk masuk Akademi Fantasia, nak jadi macam Mawi ke, takde maknanya.

Tapi saya menyanyi kerana terpaksa. Untuk memberikan semangat.Untuk menghilangkan mengantuk yang amat sangat kerana kepadatan program pada hujung minggu yang lepas. Isteri saya terpaksa menahan sabar mendengar suaminya menyanyi dengan suara yang macam Giant (dalam cerita Doraemon) ini. Mengantuknya bukan kepalang.

Pada hari Jumaat saya mempunyai Kuliah Online yang bertajuk “Syurga yang Menderita Neraka yang Mempersona” dengan pelajar Rusia bermula jam 12.30 hingga 3 pagi. Jam 6.30 pagi saya sudah bertolak menuju ke tempat program saya. Bermula di kem berhampiran dengan IKBN Dusun Tua dengan tajuk “Tepat dan Jelas Dalam Bermatlamat” hinggalah malam, program bertali arus hinggalah pada hari Ahad. Rumah saya pada hujung minggu ini hanyalah tempat untuk tidur pada jam 1-2 pagi, sebagaimana biasa dan selepas subuh keesokannya pula meneruskan hari yang penuh kesibukan.

MENYESAL

“ Ustaz, ustaz tak penat ke hidup macam ni? macam takde life je” Tanya salah seorang pelajar saya kepada saya semasa bertanyakan kekosongan tarikh saya untuk jemputan ceramah.

Hmmm soalan killer ni. Kerana memang penat. Semua manusia perlukan kerehatan dalam hidup. Tapi saya lebih mengimpikan ‘rehat yang selamanya’. Semua orang mahu cemerlang dalam pelajaran, 5A dalam UPSR, 9A dalam PMR dan 21 A1 dalam SPM. Cuba Tanya mereka, apa yang mereka lakukan sehingga mendapat kecemerlangan yang sebegitu. Apakah mereka menunggu wahyu turun semasa menjawab SPM, ataupun hanya mengharapkan tuah. Tentu sekali tidak. Mereka bersengkang mata, menahan nafsu makan, menghargai masa dan berbagai-bagai lagi usaha yang dilakukan…hanya untuk mencapai matlamat sebuah KEJAYAAN.

Semua orang Islam percayakan hari akhirat, syurga dan neraka, tetapi berapa ramai manusia yang berusaha menuju ke sana. Sesetengah orang amat berkira untuk sedekahkan waktu untuk membaca al-Quran, untuk membantu anak yatim, berjumpa dengan remaja-remaja yang sedikit terpesong jalan mereka,betulkan kembali. Kita rasakan itu bukan urusan kita. Hakikatnya sekiranya kita melakukan amalan kebajikan kita sebenarnya sedang bank inkan duit kita dalam bank, nama itu Hereafter Bank (HB). Setiap amalan kebajikan kita akan diberikan pahala, pahala itulah yang kita akan simpankan dalam HB, dan kita withdraw pada hari akhirat nanti.

Menyesal? Mungkin TIDAK.

TIDUR

Kita akan tidur apabila mengantuk bukan? Apabila kita sudah berbaring di atas tilam, apakah kita terus tertidur? Jarang-jarang sekali macam tu. Biasanya kena pejamkan mata, kosongkan minda, beralih ke kanan ke kiri,pusingkan badan, letakkan tangan atas dahi, macam-macam lagi yang kita buat kan. Orang kaya walaupun billionaire masih tidak mampu untuk membeli nikmat tidur yang nyenyak. Tapi orang yang sibuk walaupun hidupnya sederhana, amat menikmati nilai sebuah tidur, lelapkan mata, terus hilang dalam mimpi,dan hanya kan bangun sebelum subuh untuk nak berdating dengan Allah.

Bermaknanya sebuah tidur bagi orang yang berjuang.

UJIAN

Allah masih lagi ingat pada saya.Pada hari Sabtu yang lalu,alhamdulillah diuji satu lagi dengan ujian yang lain.

Cermin kereta pecah. Kejadian ini berlaku ketika saya sedang tergesa-gesa menuju ke tempat program yang lain, tiba-tiba sedangsaya memotong lori di bahagian lorong memotong di satu selekoh

Praaaangggg!!!!

Cermin kereta saya retak seribu. Saya hampir tidak dapat melihat kenderaan di hadapan kerana kesan retakan tersebut. Perlahan-lahan saya masuk ke lorong kecemasan.

“ Hello, maaf, kereta ust cerminnya pecah semasa on the way tadi, ustaz mungkin tidak dapat hadir ke tempat Adi sebab teruk sangat retaknya. Tapi kalau Adi nak juga ustaz bagi ceramah, minta Adi ambil ustaz di Wangsa Maju” perkara pertama sekali yang saya lakukan selepas saya membuat parking di tepi jalan.

“Takpe takpe ustaz, kami datang ambil ustaz” jawab Adi spontan.

Saya menghantar kereta ke bengkel berhampiran. Masa terus berlalu.

“ Haaah, mahalnya.” Itulah ungkapan pertama yang keluar dari mulut saya. Harga keseluruhannya hampir setengah daripada gaji saya yang berbaki ini. Saya membayar separuh terlebih dahulu dan bakinya kemudian. Allah anugerahkan kelembutan hati pada mekanik ini untuk saya tangguhkan pembayaran.

Hebatnya Kuasa Mu ya Allah. Membantu di kala hambaMu ini sangat memerlukan. Alhamdulillah.

“ Encik tak boleh bawa lagi kereta ini sebab cermin kereta belum melekat sepenuhnya lagi, bahaya nanti.” pesan mekanik.

Saya tersenyum “ Takpe….insyaallah selamat”

Saya mengambil kereta dan terus memandu…..menuju ke tempat program seterusnya.

®Ridha (ridharster@gmail.com)

(Kepada para pembaca, maaf, ustaz tak sempat upload artikel pada dua hari yang lalu)

Leave a comment »

Hilang Keluarga Hilang Saudara

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mengalu-alukan cadangan presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting di Dewan Rakyat semalam agar seseorang mualaf dibenarkan meninggalkan Islam tanpa sebarang halangan.

Terkejut saya membaca kenyataan di atas.

Saya bukanlah pembaca setia Malaysiakini.com, cuma hari ini sebagaimana hari biasa, saya akan memulakan setiap hari saya dengan mengetahui isu-isu semasa dalam dan luar negara khususnya isu-isu berkenaan saudara kita di Palestin yang masih belum berkesudahan. Sedih dibuatnya. Masjid al-Aqsa ‘dihina’ oleh orang Islam sendiri.

Pagi tadi selepas berjogging dengan isteri,saya membelek-belek laman akhbar online, tertarik dengan isu yang dibangkitkan oleh Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) menggerakkan hati saya untuk memberikan sedikit pandangan.

MEREKA TIDAK AKAN BERPUAS HATI

Ini bukan percubaan kali pertama mereka cuba melemahkan ketuanan Islam di malaysia, bahkan berkali-kali. Tidak berjaya dengan cara itu,dicubanya dengan taktik yang lain, termasuk dengan cara ‘melembutkan gigi daripada lidah’ ,yang penting semua agama mestilah sama tarafnya. Mereka tahu bahawasanya umat Islam amat sensitif dengan isu-isu Islam dan murtad ini sebagaimana mereka amat tahu tentang kesucian surau dan masjid.

“ Berani mereka robohkan surau ini. Diorang tak kenal lagi aku, kalau dapat kat aku siapa yang roboh tu, siap la mamat tu aku kerjakan, aku akan hantar ke ‘batu dua’” jerit seorang remaja di kedai kopi sambil menghentakkan tangan di atas meja, merah matanya. Bergoyang meja dibuatnya. Tersedak orang dihadapan melihat kegarangan anak muda ini.

Itulah hakikatnya, biarpun tidak pernah menjejakkan kaki ke surau, lalu di hadapan surau pun jarang-jarang sekali tetapi amat sensitif dengan isu-isu kemulian Islam dan orang Islam, mendengarkan surau dirobohkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, berderau darah mudanya.

MENCARI PUNCA

“ Ish, kenapa kereta ni tak boleh start ni. Semalam ok je,” bisik Umi kehairanan. Semalam selepas pulang dari kerja Umi membawa adiknya yang baru sampai dari kampung berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur.

Dibelek-beleknya enjin kereta, disentuh, digoyang bahagian-bahagian tertentu. Umi cuba hidupkan lagi. Masih lagi tidak hidup

“ Kenapa ni along? Kereta rosak ke?’’ tanya Izat, dia seorang mekanik kampung

“ Entahlah dik, semalam ok je, ari ni meragam pulak”

“Takpe la Along, meh adik cek.”

“Laaa….takpayah cek la along, minyak dah abis. Macamana nak hidup enjin kereta ni. Hai,along along.”

Mudah kan kerjanya kalau kita tahu punca bagi setiap sesuatu.

Apa puncanya bagi isu ini. Antaranya ialah kerana mereka merasa terancam dengan isu-isu yang berbangkit dewasa kini, antaranya isu Moorty yang akhirnya diisytiharkan sebagai Muslim, kes Saravanan (Muhammad Syafie Saravanan bin Abdullah) VS Subashini.Subashini membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi supaya isu perkahwinan antara beliau dan suaminya tidak dibawa ke Mahkamah Syariah. Ini kerana mengikut syariah law, perkahwinan secara automatik akan terbatal apabila salah seorang pasangan menganuti agama selain Islam ataupun sebaliknya. Tetapi permohonan Subashini ditolak.

KUMAN MENJADI GAJAH

Isunya hanyalah teknikal dan saya tidak berhajat untuk bincangkan penyelesaiannya di sini kerana agak complicated bahkan ramai pengamal undang-undang mengakuinya dan masih mencari penyelesaian untuk menjadikan undang-undang dan agama selari.

Tetapi yang pasti, jangan biarkan kuman membesar menjadi gajah. Teruk akibatnya nanti kepada kedua-dua belah pihak. Pastinya bagi setiap persoalan ada penyelesaianyang terbaik. Hakikatnya sekiranya kita hanya membawa ‘semangat beragama’ masing-masing tanpa membawa dalil dan hujjah agama,itulah punca kesesatan dan perbalahan di kalangan masyarakat.

MURTAD

MCCBCHST bertujuan untuk menjadikan kebebasan beragama sebagai paksi kebebasan di Malaysia. Perlu diingat, tidak ada mana-mana negara dalam dunia ini memberikan kebebasan mutlak kepada rakyat mereka, lihatlah ke ‘kiblat’ dunia hari ini, Amerika Syarikat pun mempunyai Do’s and Don’ts nya yang tersendiri. Undang-undang dan akta. Tiada siapa  yang dapat nafikan.

Tidak wajar MCCBCHST inginkan supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk memilih apa-apa agama yang dikehendakinya. Ini kerana dalam Islam sudah meletakkan supaya setiap umat islam TIDAK DIBENARKAN MURTAD tetapi dalam agama Kristian, Buddha, Hindu tidak menyebutkan tentang larangan yang serupa. Sila betulkan kiranya saya tersalah. Jadi,tidak timbul isu di sini. Agama kalian memberikan kebebasan untuk memilih agamanya, tetapi agama Islam mepunyai undang-undang untuk yang tersebut. TETAPI Islam tidak pernah memaksa penganut agama lain menganuti agama Islam, bahkan mereka diberi kebebasan untuk ‘beriman’ dengan agama mereka. Bahkan Islam akan menyediakan keselesaan kepada rumah-rumah ibadat mereka. Islam akan menjaga hak-hak mereka. Islam akan pastikan keamanan mereka. Kalau begitu, kenapa harus diganggu agama Islam?

Saya sebagai tuan rumah ingin menyusun sofa di sebelah pintu,berdekatan bilik tidur, tiba- tiba datang jiran sebelah mengatakan tidak sesuai letak di situ, sepatutnya diletakkan di tengah-tengah ruang tamu, baru cantik. Kesimpulannya,terpulang kepada saya untuk mendengar nasihatnya ataupun tidak.

Begitu juga dengan agama,kalian memberi pandangan supaya diberikan kebebasan untuk beragama kepada umat Islam, tetapi terpulang kepada ajaran Islam untuk menerima atau tidak. Ini ‘rumah kami’.Sekarang agama kalian memberikan KEBEBASAN untuk memilih agama, jadi apabila mereka convert to Islam,atau agama-agama lain, bermaksud mereka mengikut ajaran agama kalian. Tetapi Islam tidak memberikan kebenaran sebegitu supaya selamat di dunia dan akhirat nanti.

PERANAN MUSLIM

Isu ini timbul juga kerana mungkin kerana kita kurang memainkan peranan. Muallaf mereka selalunya dibiarkan terkontang kanting, kurang dididik oleh masyarakat dan terdidik, kurang diberikan perhatian.Pernah beberapa kali saya berbincang dengan beberapa orang muallaf, kebanyakkan mereka menyatakan mereka kurang dihargai apabila memeluk agama Islam, bahkan ada yang tidak dilayan langsung.

Kita suka pergi ke hotel 5 bintang bukan? kerana layannya yang mesra, keselesaannya, kecantikan dekorasinya dan sebagainya. Islam sudah punya semua itu.

Tetapi apa pandangan kita apabila pergi ke hotel 5 bintang, tidak ada orang yang nak melayan, semua buat ‘dono’ je. Apa kita akan rasa. Pelik kan.

Islam bertaraf ’hotel 10 bintang’ tapi tiada pelayan. Ramai yang berminat nak datang tapi kurang promoter yang mesra, tiada pelayan yang mempelawa.

Mereka sudah kehilangan keluarga, jangan biarkan mereka kehilangan saudara

® Ridha (ridharster@gmail.com)

Leave a comment »

Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Perkahwinan

Hari ini 1 Mei 2008,Hari Pekerja. Cuti. Ketika saya sedang berehat di anjung rumah, menikmati teh sambil melihat panorama alam. Satu pasangan melintasi kawasan hadapan rumah saya, intim nampaknya…harapnya pasangan suami isteri. Baru kahwin kot. Hati ini tiba-tiba berbunga riang,terkenang kisah keluarga, yang sangat manis untuk diingati,sangat menarik untuk dikenang,kekal tersemat di hati, buat jiwa semakin tenang.

2 tahun yang lalu,hari ini,berlangsungnya detik perasmian mengikat antara dua hati, antara teruna dan dara,antara dua insan, Syafinaz dan Jasrul Izwan Mereka ialah abang dan kakak ipar saya.

Sangat ismewa orangnya,

Sangat romantis sifatnya,

Yang bahagia sentiasa,

Semoga kekal hingga ke Sana.

1 MEI 2006 – 1MEI 2008. Tarikh keramat yang menjadi saksi kebahagiaan pasangan ini. Tahun ini pastinya lebih bermakna. Kehadiran puteri baru Safiah Hannan binti Jasrul Izwan menambah seri keluarga.

Kepada Angah dan Abang Jas, Semoga berbahagia selamanya…..Hingga ke syurga.

Ucapan daripada Mak, Abah,Along,Kak Long, Abang De, Adik Mat, Dik A,Dik E,Abang Pik, DIk No, dan Faiz.

Ridha (ridharster@gmail.com)

Comments (2) »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.